Tuesday 1 April 2014

Dakwaan halau media, Azharuddin kata dia tidak sembunyikan apa-apa


KUALA LUMPUR: "Saya tidak menyembunyikan apa-apa."

Ini adalah kata-kata Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman ekoran laporan beberapa media bahawa beliau meminta pihak media yang hadir ke Persidangan Ops Pertubuhan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk meninggalkan dewan persidangan.

Azharuddin berkata beliau meminta pihak media meninggalkan dewan itu kerana ia adalah acara tertutup dan bukannya kerana beliau menyembunyikan sesuatu.

"Saya tidak menyembunyikan apa-apa. Ia telah dipersetujui bahawa ia merupakan acara tertutup.

"Walau bagaimanapun, ucapan saya tidak mengandungi apa-apa maklumat yang baharu atau yang berbeza daripada sidang media harian kami,"katanya kepada Astro AWANI.

IATA hari ini tergendala seketika apabila Azharuddin meminta pihak media yang hadir untuk meninggalkan dewan persidangan.

Beberapa portal berita melaporkan bahawa perkara mengejut itu berlaku semasa Azharuddin sedang memberi penjelasan mengenai kehilangan pesawat MH370 dan usaha pihak berkuasa dalam mencari pesawat itu.

Kira-kira seminit beliau memberikan penjelasan tersebut, beliau tiba-tiba berhenti bercakap.

"Saya minta maaf, adakah ada media di sini? Saya tidak tahu yang media ada di sini. Saya minta maaf, bolehkah media diminta meninggalkan tempat ini?" katanya pada persidangan itu yang berlangsung di Hotel Sheraton Imperial di ibu negara.

Azharuddin merupakan antara wakil DCA yang selama ini tabah menjawab soalan dari media tempatan dan antarabangsa sejak kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment