Tuesday, 1 April 2014

Ahli Parlimen PR kesal Hishammuddin ke Hawaii, 'elak' bincang isu MH370

Haider Yutim | Kemas kini: April 01, 2014
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang - gambar fail


KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyatakan rasa kesalnya dengan tindakan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menghadiri sidang lain di Hawaii dan tidak menyampaikan sendiri taklimat berhubung kehilangan pesawat MH370 yang dijadualkan malam ini.

Menurut laporan The Malaysian Insider, Kit Siang menyifatkan tindakan itu sebagai 'sangat tidak bertanggungjawab' serta 'menghina Parlimen'.

"Ini merupakan bukti bahawa Barisan Nasional (BN) tidak serius, terutama sekali tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Ahli Parlimen dalam perkara ini," kata Kit Siang dipetik dariThe Malaysian Insider.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan kini berada di ibu pejabat Pusat Pemerintah Pasifik Amerika Syarikat di Hawaii untuk menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Amerika Syarikat-Asean.

Bagaimanapun dalam sidang media semalam (Isnin), Hishammuddin memaklumkan bahawa beliau akan berkongsi maklumat mengenai perkembangan terkini pencarian MH370 dengan rakan-rakan sejawatannya dari negara-negara Asean dan kerajaan Amerika Syarikat.

Perkara tersebut juga telah mendapat kritikan dari anggota-anggota Parlimen pembangkang yang lain termasuk Ahli Parlimen PKR-Gombak, Azmin Ali, yang berkata lawatan Hishammuddin itu menunjukkan BN tidak serius dalam menyelesaikan isu kehilangan pesawat MAS tersebut.

Katanya beliau kesal kerana taklimat tersebut tidak disampaikan sendiri oleh Hishammuddin kepada ahli Parlimen PR seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, anggota Parlimen PAS-Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bependapat, wakil rakyat adalah kumpulan pertama yang perlu dimaklumkan sekiranya berlaku sebarang insiden supaya maklumat yang disampaikan betul dan telus.

Katanya, pemergian Hishammuddin ke Hawaii membuktikan peluang anggota-anggota Parlimen PR mendapat maklumat yang telus berhubung kehilangan pesawat MH370, telah 'dihalang' oleh kerajaan.

Kerajaan pada Khamis lalu telah menyatakan kesediaan mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen pembangkang bagi menyampaikan maklumat terperinci berhubung tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH370.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata satu pertemuan telah diatur pada malam Selasa depan antara anggota Parlimen pembangkang dengan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment