Lokasi mangsa yang ditemui mati dengan kesan tetakan.
LABIS - Seorang pemuda berusia awal 30-an ditemui mati dengan kesan tetakan di kedua-dua belah kaki dan belakang kepala dipercayai menggunakan senjata tajam di sebuah kebun getah kira-kira tiga kilometer dari kawasan perumahan Ladang Sungai Labis, di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Mohd Anuar Ismail berkata, mangsa yang dikenali sebagai Devaraj Rung Raj ditemui orang awam di tepi tebing anak sungai di kawasan tersebut sebelum menghubungi pihak polis kira-kira pukul 2.00 petang hari ini.
“Siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri mangsa dan senjata yang digunakan oleh suspek.
Mangsa yang masih bujang dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Ladang Sungai Labis beberapa hari sebelum kejadian.
“Berdasarkan keadaan mayat mangsa, kami percaya mangsa diserang lebih dari seorang individu dan mangsa meninggal dunia lebih 24 jam sebelum ditemui,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dijumpai di tebing anak sungai di kawasan kebun getah tersebut dalam keadaan tertiarap berlumuran darah dan dipercayai dicampakkan oleh penyerang sebelum ditemui.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai diserang lebih dari seorang penyerang tidak jauh dari kawasan mayat ditemui.
Bagaimanapun, mayat mangsa dikenal pasti oleh seorang ahli keluarganya berdasarkan fizikal mangsa yang kudung di pergelangan tangan kiri.
“Sebelum ini, keluarga terdekat mangsa ada membuat laporan polis di Balai Polis Labis pada 28 Mac lalu apabila mangsa tidak pulang ke rumah.
“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan motif dari pelbagai sudut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment