Tuesday 11 March 2014

Nasihat Kak Engku buat Hanez Suraya

Nasihat Kak Engku buat Hanez Suraya
Kak Engku


ISU pelakon kontroversi, Hanez Suraya yang dituduh merampas suami orang bukan saja mendapat perhatian meluas daripada masyarakat tetapi juga golongan selebriti termasuklah Rita Rudaini, Rabecca Nur Al Islam, Hafiz Hamidun dan Chef Wan.

Terbaru, seakan-akan ‘terpanggil’ untuk menasihati pelakon Autumn Di Hatiku itu adalah penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau yang lebih mesra disapa sebagai Kak Engku.

Menurut Kak Engku, Hanez sepatutnya menghormati perasaan wanita lain sementelahan lagi dia juga adalah seorang wanita.

“Pada saya, hormatilah hati wanita lain. Fikirlah, jika lelaki itu boleh berbuat demikian pada isterinya, iaitu wanita yang telah bersusah payah melahirkan anak untuknya, tak mustahil sekiranya dia boleh berbuat perkara sama pada Hanez.

“Buka minda, pasti ada sebab mengapa rumah tangga mereka bermasalah? Lagi pula Hanez pasti belum tahu apa sebenarnya masalah yang melanda pada mereka berdua?,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui di Menara Kuala Lumpur (Menara KL), baru-baru ini.

Tambahnya lagi, Hanez juga tidak sepatutnya mencampuri langsung urusan rumah tangga mereka sebaliknya biar ia diselesaikan terlebih dahulu.

“Apabila masalah dah selesai, tak salah kalau Hanez nak meneruskan hubungannya dengan lelaki itu.

“Perjalanan hidup ini masih jauh. Fikir dahulu sebelum kita nak bercakap dan jangan dengar daripada sebelah pihak saja,” katanya.

Dalam pada itu, Kak Engku mengakui yang dia kini semakin selesa bergelar ibu tunggal pada tiga anaknya setelah bercerai dengan Adzmin Tan Sri Osman, pada 2010.

“Saya tak terfikir lagi soal kahwin, apatah lagi saya seronok dengan hidup begini. Sekarang ini, saya sibuk dengan kerja dan anak-anak.

“Jika berkahwin sekalipun, lepas itu tak menjalankan tanggungjawab, berdosa juga kan? Jadi, biarlah begini. Kalau ada jodoh, adalah nanti.

“Jangan risau, bila saya nak kahwin nanti, saya akan umumkannya,” katanya sambil tergelak.

Cipta sejarah dari Menara KL

Sementara itu, Kak Engku berjaya mencipta sejarah apabila menjadi penyampai radio wanita berstatus ibu tunggal yang bersiaran secara langsung dengan Sinar FM dari ketinggian 300 meter di atas Lapangan Terbuka Menara KL, pada 7 Mac lalu.

Sejarah itu dicipta bersempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac lalu sekali gus menyahut cabaran daripada Pengurus Kandungan Sinar FM, Rizal Sahimy.

Selain itu, ia juga bertujuan mengumpulkan dana untuk persatuan ibu tunggal demi membela nasib golongan itu.

“Sering kali, setiap tahun apabila tibanya Hari Wanita Sedunia, saya hanya bercakap mengenai nasib, kecekalan dan kekuatan seorang wanita.

“Tetapi untuk tahun ini, saya tidak lagi hanya mahu bercakap. Saya mahu melakukannya!. Cakap mestilah serupa bikin.

“Lagi pula, niat saya adalah baik, iaitu untuk mengumpul dana buat mereka,” katanya.

Kak Engku berada di ‘awangan’ bagi mengendalikan segmen Sinar Pagi dari jam 6 hingga 10 pagi.

Namun begitu, dia telah bersiap sedia sejak dari jam 5 pagi lagi dengan dibantu oleh Koordinator Kawalan Keselamatan Menara KL, Faizul Abdul Razak dan dua petugas dari Nas Team.

“Saya akui agak gementar. Terus terang dari semalam (6 Mac) saya tidak dapat tidur dan makan apa-apa.

“Terdapat empat cabaran yang saya perlu lalui. Tapi ketika cabaran duduk di tebing paling hujung, nyawa saya bagaikan berada di hujung kaki.

“Namun begitu, selepas melunjurkan kaki, saya sudah terasa lega dan perasaan gerun itu kemudiannya hilang sedikit demi sedikit.

“Alhamdulillah, akhirnya saya dapat lakukan dengan baik. Terasa sayu juga, dapat bantu mereka dengan hanya cara yang begini,” katanya.

Begitu pun, kata Kak Engku, dia mengharapkan agar semangat ini dapat memberi inspirasi buat semua ibu tunggal sekali gus menjadi kebanggaan buat anak-anaknya.

Hasil kutipan dan pembelian tiket pengunjung pada waktu siaran berkenaan, mereka berjaya mengumpulkan RM3,000.

Dalam pada itu, pada September depan, Kak Engku akan menyertai acara tahunan Menara KL iaitu Base Jump.

“Saya cukup sukakan dua perkara iaitu cabaran dan memasak. Malah, saya sangat suka dengan rancangan Fear Factor dan Masterchef.

“Namun, saya tidak dapat nak menyertainya disebabkan terikat dengan tugas di konti dan pengacaraan,” kata pengacara Primadona ini.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment