Friday 28 March 2014

"MH370 patah balik atas arahan pusat kawalan, hanyalah andaian saya" - Rahim Bakri


Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri hari ini memaklumkan bahawa kenyataannya yang mengatakan pesawat MH370 berpatah balik setelah menerima arahan daripada pusat kawalan, hanyalah andaian beliau semata-mata.

Jelas Abdul Rahim dalam sebuah kenyataan pada Khamis, setelah membuat semakan barulah beliau menyedari bahawa andaiannya itu tidak tepat.

"Berhubung kenyataan saya dalam perbahasan titah DiRaja di Parlimen semalam yang mengatakan pesawat MH370 berpatah balik (turn back) berkemungkinan setelah menerima arahan daripada pusat kawalan, saya ingin menjelaskan bahawa ia hanya merupakan andaian saya semata-mata serta kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku," katanya.

Justeru, beliau telah menarik balik kenyataan yang dibuat semalam (Rabu) semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah DiRaja di Dewan Rakyat.

Semalam, Abdul Rahim telah berkata pesawat yang tidak dikenali dan berpatah balik yang dikesan pada radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dianggap mungkin berbuat demikian kerana menerima arahan menara kawalan trafik udara.

Katanya pesawat tersebut boleh menerima arahan tertentu dari menara kawalan dan melencong ke laluan lain jika dikehendaki tetapi keadaan tersebut bukan sesuatu yang memerlukan tindakan daripada TUDM walaupun ia dikesan di radar utama.

Ujar beliau, walaupun ia dikesan radar sebagai berpatah balik, tetapi TUDM tidak menganggapnya sebagai musuh dan sebaliknya adalah mesra pesawat serta mungkin menerima arahan dari menara kawalan.

"Untuk makluman bahawa radar kita hanya boleh mencerap sekitar 250 batu nautika sahaja, sebenarnya mana-mana radar di dunia pun hanya boleh mencerap sejauh 250 batu nautika sahaja," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat di sini Rabu.

Pada 8 Mac lalu, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Radar utama milik TUDM pula dilaporkan mengesan sebuah pesawat membuat pusingan balik di lokasi sama di mana pesawat MH370 hilang dari radar kedua.

Abdul Rahim bagaimanapun menafikan bahawa TUDM mengambil masa untuk mengumumkan bahawa radarnya mengesan tindakan berpatah balik oleh pesawat yang tidak dikenali itu pada masa yang sama dengan waktu kehilangan MH370.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment