Monday 10 February 2014

Siti Asiah raih tiga emas, satu perak di SUKIPT

PEMANAH berpotensi negara Siti Asiah Mahmud meraih tiga pingat emas dan satu perak pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014.

Pelajar semester dua jurusan Kewangan Islam dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini berkata pencapaian beliau pada SUKIPT edisi kedua kali ini lebih baik berbanding edisi lepas.

"Pada SUKIPT 2012 saya cuma dapat satu perak dan satu gangsa. Ternyata SUKIPT kali ini ada peningkatan dari segi prestasi saya. Saya berjaya raih tiga pingat emas dari kategori kelayakan 70 meter, Recurve Individu Pusingan Olimpik dan Recurve Berpasukan Campuran.

"Manakala pingat perak pula dari acara Recurve Berpasukan Wanita. Saya rasa syukur dengan pencapaian saya pada kali ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir acara memanah di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata tujuan dan fokus utama beliau menyertai SUKIPT kali ini adalah bagi melayakkan diri ke Kejohanan Universiti Sedunia (WUC) di Poland.

Siti Asiah berkata jika tercalon untuk menyertai kejohanan berkenaan, ia merupakan kejohanan bertaraf antarabangsa pertama yang bakal disertainya sejak berjinak dalam sukan memanah.

"Saya harap saya akan terpilih mewakili negara ke WUC dan ia akan menjadi pencapaian tertinggi dalam karier saya kerana sebelum ini saya hanya menyertai Sukan Universiti Asia (AUG) 2012 di Laos.

"Buat masa sekarang, saya hanya sasar untuk ke kejohanan universiti sahaja belum sampai tahap Olimpik," katanya sambil menambah beliau menerima cabaran sengit daripada atlet kebangsaan pada SUKIPT kali ini.

Beliau berkata beliau mahu terus memfokus kepada kejohanan akan datang seperti Kejohanan Memanah Sirkit Kebangsaan bagi mengumpul mata untuk melayakkan diri ke WUC 2014.

- Bernama, Feb 10, 2014

No comments:

Post a Comment