Monday 10 February 2014

Penggunaan NGV lebih berbaloi


Proses pemasangan NGV pada kereta model Proton Saga.


PENGUSAHA bengkel NGV menyambut baik cadangan menggunakan bahan itu sebagai alternatif kepada petrol.

Pengurus Operasi Gas Emas Corporation Sdn Bhd Zulkhairi Osman berkata, penggunaan NGV jauh lebih menjimatkan berbanding petrol.

“Pengguna hanya perlu belanja separuh daripada duit petrol untuk NGV. Walaupun kos pemasangan agak tinggi antara RM4,000 dan RM4,500, jangka hayat penggunaan mencecah 15 hingga 20 tahun bergantung kepada jenis tangki digunakan,” katanya.

Zulkhairi berkata, terdapat tiga sistem bagi NGV iaitu NGV sepenuhnya, NGV dan petrol serta NGV dan diesel. "Ramai yang pilih sistem NGV dan petrol kerana lebih senang untuk ditukar mengikut keperluan,” katanya.

Katanya, kos penyelenggaraan juga rendah jika pengguna mematuhi jadual yang ditetapkan.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Pemasang Kenderaan Gas Asli Malaysia Jeffrey Ng berkata, sebuah syarikat pengangkutan mampu jimat hampir RM400,000 perbelanjaan petrol setahun jika menggunakan NGV.

Namun, bagi Ng, apa yang paling penting adalah persepsi masyarakat yang masih ragu dengan keselamatan sistem NGV perlu diubah.

“Setiap barangan termasuk tangki NGV dari luar negara bukan sahaja ada sijil ISO tetapi sudah melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

“Hanya yang melepasi dua agensi itu sahaja dibenarkan masuk ke pasaran Malaysia. Ia cukup selamat,” katanya.

- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment