Tuesday 4 February 2014

Penganggur berputih mata

Azman (kanan) menunjukkan mercun yang dirampas dalam serbuan sebuah rumah di Jalan Bakariah di sini, Isnin lalu.


MUAR – Hasrat seorang lelaki untuk menikmati keuntungan hasil daripada jualan mercun tidak kesampaian apabila ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bakariah, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, serbuan kira-kira jam 12.15 tengahari itu turut merampas 220 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM10,000 yang disembunyikan dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, rumah terbabit dipercayai menjadi transit sebelum bahan letupan itu diedarkan kepada peniaga sekitar daerah ini untuk dijual sempena Perayaan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

“Lelaki berusia 52 tahun itu tidak tinggal di rumah berkenaan, namun polis bernasib baik kerana semasa serbuan, suspek berada di rumah ketika sedang sibuk membungkus mercun dan bunga api.

“Suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap dan melakukan aktiviti itu sebagai punca punca pendapatannya semasa musim perayaan tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Azman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun saringan air kencingnya bebas daripada bahan terlarang itu.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 8 Februari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya,

Dalam perkembangan lain, Azman memberitahu pihaknya melakukan 26 tangkapan menerusi operasi mercun sempena perayaan Tahun Baru Cina yang dilakukan pada 30 dan 31 Januari lalu.

Katanya, kesemua yang tahan membabitkan lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun ketika sedang bermain mercun di sekitar daerah ini.

“Operasi dijalankan hasil aduan orang ramai yang terganggu dengan bunyi bising akibat aktiviti tersebut.

“Jadi kita wujudkan satu pasukan membuat rondaan di kawasan yang dikenal pasti berlaku pembakaran mercun,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 74 Peraturan-peraturan Bahan Letupan 1923 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.


- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment