Tuesday 4 February 2014

Lee Kuan Yew jalani rawatan di hospital sejak Ahad


SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew kini menjalani rawatan di hospital dan tidak dapat hadir ke satu majlis jamuan makan malam tahun baru Cina bersama pengundi di Tanjong Pagar, lapor media Singapura.

Kuan Yew, 90, dimasukkan ke hospital sejak Ahad kerana demam dan batuk akibat jangkitan.

"Beliau telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengelak daripada majlis awam. Oleh itu, beliau tidak dapat hadir ke Makan Malam Tahun Baru China GRC Tanjong Pagar.

"Beliau merakamkan ucapan tahun baru Cina kepada penduduk Tanjong Pagar dan rakyat Singapura," kata setiausaha akhbarnya seperti dipetik oleh The Straits Times.

Laporan media itu juga menyebut Kuan Yew sedang beransur pulih dan menjalani rawatan antibiotik.

Ini adalah tahun kedua berturut-turut Kuan Yew tidak dapat hadir ke jamuan makan malam tahunan itu setelah tidak hadir pada tahun lalu juga kerana masalah kesihatan.

Kuan Yew merupakan Perdana Menteri Singapura antara 1959 hingga 1990. Selepas bersara, beliau dilantik sebagai Menteri Kanan antara 1990 hingga 2004 sebelum jawatan itu ditukar nama sebagai Menteri Mentor, jawatan yang dipegangnya sehingga 2011.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment