Tuesday 25 February 2014

GERAMM kecam tindakan lempar cat merah pada bangunan Malaysiakini


KUALA LUMPUR: Tindakan melempar cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada bangunan portal berita bebas Malaysiakini di Bangsar Utama pagi Selasa dikecam sekeras-kerasnya oleh pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Media Marah (GERAMM).

Perlakuan tersebut yang turut juga diikuti oleh tindakan mengikat kaki seekor itik yang masih hidup yang dimasukkan ke dalam sebuah kotak di luar pejabat itu dilihat sebagai satu ancaman kepada portal berita tersebut susulan beberapa laporan berkaitan kejadian seumpamanya, yang melibatkan cat merah dan bangkai ayam seperti yang terjadi di pejabat Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok.

Malah dalam kejadian pagi tersebut juga, dua keeping gambar hitam putih Ahli PArlimen Seputeh itu juga telah ditampal pada dinding di luar pejabat Malaysiakini.

Gambar-gambar itu juga diletakkan dalam plastik bersama sejumlah kecil beras dan jarum yang berwarna merah.

GERAMM berkata tindakan melulu ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda tetapi ianya juga merupakan satu bentuk penyeksaan ke atas binatang.

“Lebih khusus dan membimbangkan lagi, ianya merupakan ancaman kepada kebebasan sebuah organisasi dan tindakan ini adalah satu bentuk ancaman kepada pengamal media dan menggambarkan bahawa laporan Malaysiakini sebagai satu bentuk sokongan terhadap sesuatu pihak atau ahli politik secara individu,” kata jurucakap GERAMM dalam satu kenyataan media kepada Astro AWANI.

Malaysiakini memberi liputan kepada semua pihak dalam isu video kontroversi Teresa Kok.

“Liputan diberikan kepada semua bukan sahaja pihak DAP tetapi juga penentang-penentang tindakan ahli parlimen tersebut,”.

GERAMM menggesa semua organisasi media supaya tidak tunduk kepada sebarang bentuk serangan atau ancaman dari mana-mana pihak, selaras dengan lapan tuntutannya sebelum ini.

“Kita berharap pihak berwajib akan segera menyiasat dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Bukan sahaja siasat serangan di Malaysiakini hari tetapi juga keganasan-keganasan lain terhadap pengamal media,”.

Pada 29 Januari lalu, tiga lelaki bersenjatakan parang dan batang besi telah memecah pejabat sebuah akhbar harian Tamil, Tamil Malar, di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Dalam serangan itu, mereka memecah pintu kaca, meja kaca dan lima buah komputer di tingkat bahagian pengurusan pejabat berkenaan

GERAMM juga terus mendesak, sekali lagi, siasatan rapi terhadap serangan ke atas pengamal-pengamal media sewaktu liputan perhimpunan Bersih 3.0 pada April 2012.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment