Wednesday 12 February 2014

Sabah terima 3.38 juta pelancong pada 2013

KOTA KINABALU - Sabah mencatat peningkatan 17.6 peratus ketibaan pelancong dari Januari hingga Disember tahun lepas iaitu sebanyak 3.38 juta orang berbanding tempoh yang sama tahun 2012.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata daripada jumlah itu, 2.29 juta adalah ketibaan pelancong domestik yang meningkat 68 peratus berbanding tahun 2012 manakala pelancong antarabangsa meningkat 15.7 peratus atau lebih daripada satu juta orang.

"Ini adalah pertama kali jumlah tertinggi dicatatkan oleh negeri ini melalui kedatangan pelancong asing terutama dari Hong Kong dan China iaitu meningkat 86.7 peratus, Korea Selatan (32.1 peratus), Jepun (25 peratus) dan Taiwan (15.5 peratus)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku 'ITIN : A Bornean Elephant' di sini hari ini.

Masidi berkata ketibaan penerbangan sewa khas juga meningkat iaitu sebanyak 262 penerbangan pada tahun lalu berbanding 164 penerbangan pada 2012 dan merupakan jumlah tertinggi berbanding di negeri lain.

"Peningkatan ketibaan pelancong telah menyumbang kepada hasil pendapatan negeri ini apabila berjaya mengutip hasil sebanyak RM6.35 juta sepanjang tahun lalu dan jumlah ini dijangka akan meningkat pada tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 ini,"katanya.

Beliau berkata faktor kekurangan bilik di hotel-hotel bertaraf lima bintang khususnya di sekitar Kota Kinabalu menjejaskan kedatangan pelancong asing terutama dari Eropah iaitu sebanyak 4.7 peratus.

Menurutnya, sejumlah 2,000 buah bilik penginapan diperlukan di sekitar Kota Kinabalu bagi menampung jumlah pelancong yang sukar dijangka. - Bernama

No comments:

Post a Comment