Friday 31 January 2014

STING tunjuk kemampuan


Sting PDRM tunjuk kemampuan
Ahmad Zahid bersalam dengan anggota pasukan khas polis pada Majlis Pelancaran Sting di Pulapol di sini, semalam. Foto : SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


KUALA LUMPUR - Beberapa orang anggota polis berpakaian baju serba gelap serta memikul senjata api serba canggih seperti pistol automatik serta Rifle MK5 membuat serbuan ke atas satu kawasan yang disyaki terdapat dadah di dalamnya.

Sebaik sahaja serbuan dibuat, terdapat beberapa lagi anggota polis berpakaian sama turun daripada sebuah helikopter untuk membantu pasukan pertama untuk menyerbu tempat berkenaan.

Sebaik sahaja serbuan dibuat, beberapa anggota polis berpakaian sut khas anti kebakaran dan pencegahan bahan kimia berwarna kuning serta memakai topeng gas serta alat bantuan pernafasan masuk ke dalam tempat serbuan terbabit untuk memeriksa dadah yang terdapat dalam tempat tersebut.

Itulah simulasi yang dibuat, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) semasa pelancarannya di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, semalam yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, pasukan ini diwujudkan bagi mengekang pengedaran dan penyeludupan dadah di negara ini.

Menurutnya, pasukan ini akan mengenal pasti kawasan disyaki tempat pengedaran dadah iaitu ‘kawasan hitam’ termasuk kawasan yang melibatkan kongsi gelap untuk diambil tindakan iaitu ‘diputihkan’.

“Pasukan ini akan mengesan dan menangkap anggota kumpulan kongsi gelap yang menyeludup dadah serta senjata api ke Malaysia. Selain itu, pasukan ini juga akan membanteras dadah di setiap peringkat negeri dan juga daerah,” katanya ketika pelancaran pasukan STING, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Menurut Ahmad Zahid, pasukan ini akan mengesan dan menangkap pengedar dadah serta kongsi gelap samada bolos atau tidak dan mereka semua akan dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) atau (LLPK).

Pasukan ini juga, katanya, akan menangkap pengedar dan penyeludup dadah dari negara asing.

Beliau turut memuji komitmen yang dilakukan oleh pasukan JSJN Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila terdapat peningkatan dalam penangkapan kesalahan jenayah narkotik sebanyak dua peratus pada tahun lepas, iaitu 175,198 orang berbanding 171,649 orang pada 2012.

Pada tahun lepas, nilai rampasan juga meningkat sebanyak enam peratus melibatkan rampasan barangan bernilai RM402.73 juta berbanding RM381.09 juta pada 2012.

“Berdasarkan pemerhatian, kita menyedari gejala dadah yang berlaku adalah seiring kepesatan pembangunan negara. Penagih dadah bukan lagi di lorong-lorong gelap seperti dahulu kala, tetapi kini sudah menjalar ke pusat hiburan, kediaman mewah dan bangunan pencakar langit,” katanya.

Pasukan Sting yang berpusat di Ibu pejabat Bukit Aman diketuai Khalid akan menerima peruntukan RM5 juta dari KDN untuk kenderaan serta kelengkapan pakaian bernilai RM4 juta. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment