Friday 31 January 2014

Darby alih tumpuan hadapi Sabah

Steve Darby
Steve Darby


SELEPAS tewas mengejut kepada PKNS FC dalam saingan Liga Super, pengendali The Red Warriors (TRW), Steve Darby kini mengalih tumpuan kepada persiapan pasukannya bagi menghadapi Sabah pada pusingan kedua Piala FA di Kota Bharu, pada 4 Februari ini.

Darby berkata, beliau mahu menggunakan kesempatan pada aksi persahabatan Kelantan menentang pasukan Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) FC di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan malam esok sebagai medan terbaik menguji barisan pelapisnya setelah tidak menyenaraikan beberapa tonggak utama pada perlawanan tersebut.

Menurutnya, empat pemain regular iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Farisham Ismail dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim tidak ikut serta sebaliknya mereka diberi cuti rehat setelah terbabit dengan jadual padat bersama skuad negeri dan kebangsaan.

“Seperti saya beritahu sebelum ini, apa jua keputusan aksi persahabatan itu nanti tidak begitu penting. Saya hanya mahu melihat karakter pemain muda dan mereka diberi peluang bermain 90 minit pada perlawanan ini.

“Pertemuan menentang DPMM FC sebahagian daripada perancangan pasukan sebelum menghadapi Sabah. Sebagai juara bertahan, sudah pasti kami berdepan tekanan kerana semua orang tahu itu (pusingan kedua) adalah perlawanan kalah mati,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jurulatih kelahiran England yang turut membawa keempat-empat awang importnya ke Brunei memberitahu, beliau mengharapkan kecederaan yang dialami Mohamed Shawky Aly dan Amar Rohidan pulih menjelang pertemuan dengan Sabah nanti.

“Saya tahu dua pemain ini bergelut dengan masa untuk pulih dengan cepat, tetapi saya tidak mahu memberi tekanan kepada mereka.

Saya menagih khidmat mereka untuk diturunkan apabila berdepan dengan Sabah tetapi jika gagal, saya harap mereka boleh beraksi apabila kita bertemu Perak pada 8 Februari nanti,” katanya. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment