Saturday 25 January 2014

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu tengah malam tadi kerana serangan jantung.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Manir itu tidak sedarkan dirisebelum dimasukkan ke hospital berkenaan pada Jumaat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengesahkan berita kematian itu kepada Harakahdaily selepas diberitahu mengenainya oleh anak Allahyarham.

Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Harun sebagai tokoh yang banyak berjasa khususnya dalam memimpin Dewan Ulama PAS dan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada parti itu.

"Semoga Allah merahmati para ulama yang telah pergi dan menggantikan mereka dengan barisan ulama yang tidak kurang hebatnya untuk memikul amanah tanggungjawab memimpin PAS, InsyaAllah," katanya dalam mesej di Facebook.





Dalam pada itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memaklumkan jenazah Harun akan disolatkan di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu pada pagi ini.

"Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” katanya seperti dipetik oleh Harakahdaily.

Beliau juga mewakili Dewan Ulama PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat insya-Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah SWT,” ujarnya lagi.

Harun merupakan antara tokoh utama PAS yang lantang menentang penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut bukan agama Islam.

Beliau juga antara pemimpin PAS yang secara terbuka mahu kerjasama politik parti Islam itu dengan Parti Keadilan Rakyat dan DAP dalam Pakatan Rakyat dikaji semula -- pandangan yang beliau suarakan pada muktamar PAS tahun lalu.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment