Tuesday 30 December 2014

Giliran Shima tersingkir

Shima

AKIBAT tersalah memilih lagu, penyanyi era 90-an, Shima, terpaksa mengikut langkah pelantun lagu Langit Ketujuh, Sharifah Zarina apabila tersingkir dalam konsert separuh akhir Gegar Vaganza, kelmarin.

Dalam konsert yang bertemakan ‘Carta Hits’ itu, Shima menyanyikan lagu popular Alyah iaitu Kisah Hati yang sekali gus merupakan lagu kegemarannya.

“Sebenarnya, saya memang suka dengan lagu itu dan sering kali lagu Kisah Hati menjadi pilihan saya setiap kali saya berkaraoke.

“Saya sudah mencuba yang terbaik tetapi tidak sangka pula juri kurang berpuas hati dengan lagu pilihan saya itu,” katanya ketika dihubungi Zass.

Ekoran tersingkirnya dalam konsert tersebut, Shima tidak dapat meneruskan perjuangannya ke peringkat akhir program realiti berkenaan.

Bagaimanapun, pelantun lagu Setelah Aku Kau Miliki ini tidak menyesal dengan pilihan lagunya itu, sebaliknya reda akan keputusan juri.

“Adat dalam pertandingan, ada yang kalah dan ada yang menang. Perjuangan saya hanyalah setakat ini dan saya mendoakan kejayaan semua peserta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shima kini sibuk menjalankan aktiviti perniagaan berteraskan kecantikan dan kesihatan selain merancang untuk kembali aktif dalam industri seni.

“Setelah berehat hampir setahun, saya bersedia untuk aktif semula menyanyi di kelab. Saya juga sedang mengumpulkan material-material bermutu untuk menghasilkan album terbaharu, tidak lama lagi,” katanya.

Malam itu turut memperlihatkan kehebatan peserta lain iaitu Fazli Zainal yang menyanyikan lagu Mewangi dendangan Akim & The Magistrate, Haleeda (Lagu Untukmu), Mamat Exist (Dealova), Rahmad Mega (Alasan Untuk Bahagia), Ifa Raziah (Aku Wanita Biasa) dan Ayai Ilusi (Hanya Aku).

Tersingkirnya pelantun lagu Teringin itu sekali gus melayakkan enam peserta lain melangkah ke peringkat akhir konsert yang dijadualkan akan bersiaran langsung pada 4 Januari depan.

Siapa peserta yang bakal bergelar juara? Saksikan Gegar Vaganza setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Prima (saluran 105) dan Astro Mustika HD (saluran 134).

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment