Thursday 26 December 2013

Trauma ditetak dua peragut

Trauma ditetak dua peragut
Johny Ch’ng (berdiri kanan) bersama Mohd Haris (duduk kanan) mendengar sendiri cerita Sung Lin (duduk kiri) dan ahli keluarga berhubung kejadian ragut yang nyaris meragut nyawa pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara.


KUANTAN- Seorang penuntut sebuah kolej swasta di ibu negara kini trauma selepas cedera parah akibat ditetak dua lelaki yang bertindak nekad menyamun telefon bimbitnya dalam kejadian di Taman Bunga Raya, Setapak, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, 16 Disember lalu, Chua Sung Lin, 19 cedera di kepala, tangan kiri dan beberapa bahagian badan akibat terkena tetakan.

Mangsa turut cedera di beberapa bahagian lain termasuk lebam di muka dan luka di kaki akibat diheret penjenayah ketika cuba mempertahankan telefonnya daripada dirampas.

“Saya takut dan trauma dengan kejadian yang nyaris meragut nyawa.

“Saya bersyukur kerana kejadian sempat disedari rakan dan orang ramai malah mereka segera memberi bantuan termasuk menghantar saya ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Lorong Galing 105, Taman Gembira di sini, semalam.

Dia yang menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Pencegahan Malaysia (MCPF) Pahang, Datuk Seri Johny Ch’ng semalam berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan ke rumah kawan.

“Ketika sampai berhampiran rumah kawan, dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba mendekati dan salah seorang daripada mereka mengarahkan saya menyerahkan telefon bimbit yang kebetulan berada di tangan.

“Salah seorang daripada mereka mengayunkan sebilah parang dan menetak bahagian belakang kepala saya sebelum cuba merampas telefon,” katanya.

Sung Lin berkata, dia cuba mempertahankannya namun suspek bertindak menetak tangan menyebabkan telefon itu terlepas.

“Saya cuba merampas namun suspek terus melarikan diri dan ketika itu saya terjatuh dan terseret beberapa meter,” katanya.

Mangsa yang parah dalam kejadian itu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang dan berehat di rumah keluarganya di sini.

“Dalam kejadian itu suspek hanya melarikan telefon bimbit manakala dompet dan barangan lain tidak diusik,” katanya.

Kejadian menimpa pelajar kolej terbabit mendapat perhatian Johny Ch’ng apabila beliau bersama Timbalan Ketua Jabatan Siasatan jenayah Pahang yang juga Setiausaha MCPF Pahang, Superintendan Mohd Haris Daud melawat mangsa di rumahnya di sini, semalam.

Johny berkata, MCPF Pahang bersimpati dengan nasib menimpa pelajar itu.

“Biarpun kejadian ini berlaku di luar Pahang, perkara itu tidak boleh diambil ringan oleh pihak berkuasa termasuk polis kerana jenayah ragut turut berlaku di Kuantan.

“Penjenayah semakin nekad dan mereka sanggup bertindak di luar batasan termasuk mendatangkan kecederaan kepada mangsa malah ada kes yang membawa kepada kehilangan nyawa,” katanya.

Menurutnya, MCPF Pahang akan memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam mendidik masyarakat terhadap ancaman peragut ini.

“Peragut tidak memilih mangsa sebaliknya jika ada peluang mereka akan bertindak.

“Kesedaran dan sikap berwaspada masyarakat amat penting bagi mengelak mereka terdedah kepada ancaman jenayah ragut,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment