Gambar sekadar hiasan.
MELAKA: Seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi swasta di Masjid Tanah di sini bertindak membuang bayi yang dilahirkannya awal hari ini ke luar tandas bagi mengelak dikesan ahli keluarganya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata mayat bayi lelaki yang cukup sifat itu ditemui di luar tandas rumah ibu saudara pelajar berusia 18 tahun itu di Batang Tiga Tanjung Kling di sini, kira-kira 1.00 pagi.
Beliau berkata sebelum kejadian, pelajar terbabit yang bercuti di rumah ibu saudaranya itu masuk ke dalam tandas dan tidak keluar selepas hampir sejam sehingga menimbulkan kecurigaan.
"Makcik pelajar itu kemudian bertindak masuk ke dalam bilik air sebelum melihat banyak darah di lantai namun pelajar itu memaklumkan yang dia mengalami buasir," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Raja Shahrom berkata ibu saudara pelajar terbabit yang berusia 60 tahun kemudian bertindak membawanya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Raja Shahrom berkata hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar terbabit mengalami pendarahan disebabkan melahirkan anak sebelum laporan polis dibuat pihak hospital terbabit kira-kira 12 tengah malam.
Beliau berkata polis kemudian bertindak melakukan pemeriksaan di rumah itu sebelum menemui mayat bayi tersebut di luar tandas rumah berkenaan.
Katanya siasatan awal polis mendapati bayi tersebut dipercayai dibuang melalui ruang udara di bahagian bumbung tandas selepas dilahirkan.
Mayat bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Kita sedang menyiasat sama ada bayi tersebut masih hidup atau tidak selepas dilahirkan dan pelajar terbabit akan ditahan bagi membantu siasatan sebaik menerima rawatan," katanya.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment