KUALA LUMPUR: Sebuah NGO menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi mencari penyelesaian menyeluruh isu perjanjian pembelian tenaga (PPA) dan penjana tenaga bebas (IPP) yang membebankan ekonomi dan rakyat selama ini.
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) yang membuat gesaan itu mahu suruhanjaya siasatan diraja itu memberikan fokus kepada tiga isu utama iaitu ketelusan dalam struktur kos tarif elektrik, PPA dan IPP.
Presidennya S. Piarapakaran berkata, penubuhan suruhanjaya siasatan diraja itu akan jadi satu langkah penting kerajaan untuk memastikan dasar-dasar yang betul dilaksanakan supaya Malaysia kekal berdaya saing bagi jangka masa panjang.
"Sudah sampai masanya bagi kerajaan melihat semula apa yang dilaksanakan dan menilai kesan sebenar beberapa keputusan yang dibuat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Beliau juga menggesa Perdana Menteri dan kabinet menyokong gesaan tersebut bagi membolehkan semua isu berkaitan IPP dan PPA diselesaikan dengan baik.
Cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja ini bukanlah satu isu baru sebaliknya pernah disuarakan oleh bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah dua tahun lalu.
Tengku Razaleigh dalam beberapa ucapan sepanjang tempoh dua tahun ini juga membangkitkan perkara yang sama iaitu perlunya kerajaan menyemak semula perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan semua penjana bebas.
Dalam mengetengahkan semula cadangan yang dikemukakan oleh Tengku Razaleigh itu, AWER turut menggariskan terma rujukan yang harus digunapakai oleh suruhanjaya siasatan diraja itu nanti.
Antaranya mengkaji pecahan kos tarif elektrik antara 1990 hingga 2013 dan dasar-dasar yang dilaksanakan sepanjang tempoh itu yang memindahkan kos yang tidak adil kepada pengguna.
AWER juga mahu suruhanjaya siasatan diraja itu meneliti punca kegagalan proses rundingan semula PPA dengan kelompok pertama IPP.
IPP adalah antara projek penswastaan yang dilaksanakan pada awal 1990an ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad bertujuan mengurangkan penggantungan kepada TNB yang merupakan syarikat monopoli tenaga pada masa itu.
Kelompok awal IPP termasuklah YTL Power Generation, Genting Sanyen, Malakoff, Segari Energy Ventures, Prai Power, Powertek, GB3, Tanjung Bin Power dan Kapar Energy.
Dalam kenyataannya, Piarapakaran berkata lanjutan perjanjian dengan IPP kelompok pertama tidak mapan dan bukan satu keputusan yang menjimatkan kos pada jangka masa panjang.
Katanya, ia bertentangan dengan ikrar kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sektor elektrik negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.
ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment