Thursday 31 October 2013

Bola punya pasal, sanggup tunggu 4 jam!

Sanggup tunggu 4 jam
Maimah (kiri) Norhayati dan Ahmad Mustamar dari Jengka menunjukkan kupon tiket yang perlu ditebus untuk mendapatkan tiket asal perlawanan Pahang menentang Kelantan, Ahad ini.


TEMERLOH – Seorang warga emas dari Jengka 24, Maran sanggup beratur panjang selama empat jam seawal 7.30 pagi semalam untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang yang berlangsung Ahad ini.

Maimah Mohd Sam, 57, isteri kepada peneroka Jengka 24, bersama anak Norhayati Abdul Manaf, 29, dan menantu Ahmad Mustaar Wahab, 48, tiba di Temerloh kira-kira jam 7.30 pagi dan ketika itu orang ramai sudah mula memenuhi pekarangan stadium.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk membeli tiket di Temerloh selepas mendapat tahu di daerah ini ada menjual tiket tersebut secara terbuka.

“Kami bertolak awal pagi dari Jengka dengan menaiki kereta semata-mata nak dapatkan tiket perlawanan akhir ini. Kami sememangnya penyokong setia Pahang.

“Ini bukan kali pertama, malah kami kerap menonton di stadium Darul Makmur setiap kali perlawanan membabitkan Pahang di peringkat kumpulan lagi,” katanya.

Sementara itu Norhayati berkata, semangat ditunjukkan ibunya membuatkan dia dan suami begitu teruja untuk menyaksikan perlawanan akhir kali ini.

“Masa kami beratur pagi tadi (semalam) sudah lebih 50 orang yang datang awal, tetapi kami tetap semangat. Hari ini kami beratur empat jam untuk mendapatkan tiket dan berharap Pahang menang kali ini,” katanya.

Sementara Ahmad Mustamar berkata, dia yakin dengan sokongan padu penonton kali ini Pahang akan menang di Shah Alam dengan keputusan 2-1.

Sementara itu penyokong dari Felda Mayam, Bera, Kamarul Zaman Abdul Karim, 25, yang merupakan penyokong terawal sampai di situ berkata, dia beratur sejak jam 6.30 pagi lagi.

Menurutnya, dia bertolak dari rumah bersama empat rakannya jam 5 pagi dengan menaiki kereta dan tiba di Temerloh jam 6.30 dan terus beratur.

“Kami yang pertama tiba di sini dan dapat kupon untuk ditebus pada hari ini (semalam),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment