Thursday 31 October 2013

Rogol, rompak pembantu rumah

Rogol, rompak pembantu rumah
Muhammad Faiz didakwa di mahkamah sesyen, semalam atas tuduhan merogol dan merompak seorang pembantu rumah warga Indonesia.


KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda dihadapkan di mahkamah sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia, Oktober lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Faiz Azumar Ammin Mohd Noor, 27, dari Dungun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan kerana merogol yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa berusia 38 tahun di sebuah rumah di Jalan Balai Besar, Dungun, kira-kira jam 5 pagi, pada 12 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Faiz Azumar Ammin berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Wan Fadhilah Nor menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan Muhammad Faiz Azumar Ammin diikat jamin RM14,000 dengan syarat dia tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi bagi kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Sementara itu, di mahkamah sesyen berasingan, Muhammad Faiz Azumar Ammin turut mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan merompak mangsa dengan melarikan seutas rantai dan gelang tangan emas serta dua telefon bimbit jenama Nokia dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3,000.

Dia didakwa merompak mangsa menggunakan senjata iaitu sebilah parang di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Faiz Azumar Ammin didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Hakim Azlam Zainuddin menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap dirinya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud@ Mamat.

Sebelum ini, akhbar keluaran 19 Oktober lalu ada melaporkan seorang pembantu rumah berdepan detik hitam apabila bukan saja disamun tetapi turut dirogol dalam keadaan tangan dan mulut disumbat dengan kain, dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Balai Besar, Dungun.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang bersendirian di rumah berkenaan sedang tidur di dalam biliknya sebelum didatangi suspek yang juga menantu kepada majikannya. Difahamkan, suspek ketika itu turut membawa sebilah parang.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment