Wednesday 30 October 2013

Miros dedah punca tragedi ngeri bas terjunam gaung

Miros dedah punca tragedi ngeri bas terjunam gaung
Laporan siasatan nahas akan dibentangkan kepada Kabinet.


KUALA LUMPUR - Laporan siasatan Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) mendapati kelajuan punca utama kemalangan melibatkan bas ulang alik yang terjunam di Jalan Genting Highlands, Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, laporan itu akan dihantar kepada jawatankuasa khas diketuai Tan Sri Lee Lam Thye minggu depan.

Menurutnya, selain melebihi had laju, faktor keadaan jalan juga salah satu punca utama.

"Jawatankuasa tersebut akan teliti laporan dan dalam tempoh dua bulan laporan penuh akan dibentangkan kepada Kabinet.

"Buku laporan Miros itu bukan hanya meneliti punca kejadian di Genting Highlands tetapi turut menyenaraikan syor bagi memastikan tragedi seumpama itu tidak berulang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Pada 21 Ogos lalu, tragedi itu mengorbankan 37 nyawa apabila bas dipandu Lim Kok Hoe terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands.

Pemandu bas itu, mempunyai 16 saman trafik dan 15 daripadanya di bawah kesalahan melebihi had laju.

Ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai (BN-Bentong), Aziz berkata, kerajaan memandang serius perkara itu dan sebagai pencegahan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan seksyen baru iaitu Seksyen Profil Pemandu.

"Sebelum ini JPJ mempunyai kekangan apabila tidak dapat menyenarai hitam pemandu apabila kes tersebut masih belum disebut di mahkamah.

"Oleh itu seksyen baru ini berfungsi menggantung dan membatalkan lesen memandu di bawah sistem mata demerit, bagi penagih dadah dan pemandu kenderaan yang mempunyai saman tertunggak," katanya kepada Dewan Rakyat.

Tambah beliau, seksyen itu juga memudahkan JPJ mengambil tindakan kepada mereka bermasalah dan memberi risiko kepada orang awam.

Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, seksyen itu dalam proses perlaksanaan dan menjangkakan senarai pemandu itu akan dapat diketahui penghujung tahun ini.

Selain itu, menurut Aziz, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga mengkaji aspek operasi dan permit bagi laluan lokasi dan reka bentuk jalan.

"Satu pekeliling baru dikeluarkan pada 9 September lalu sebagai penambah baik dalam amalan keselamatan untuk syarat lesen bagi kawasan operasi tanah tinggi berisiko. Selain itu syarikat bas terlibat juga diminta memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi pemandu," katanya.

Aziz berkata, pekeliling baru itu mengguna pakai peraturan antarabangsa dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Melalui Standard Operasi (SOP) pemanduan yang digariskan SPAD juga mewajibkan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman sebelum bertugas kendali bas di kawasan tanah tinggi," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment