Monday 28 October 2013

Azmin juga nafi usaha jatuhkan Khalid

Azmin Ali
Azmin Ali


KUALA LUMPUR - Selepas khabar angin mengenai usaha menukar kepimpinan kerajaan Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Pengerusi PKR negeri itu bertiup kencang, hari ini giliran Mohamed Azmin Ali menafikan adanya usaha ke arah itu.

Menurut Mohamed Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak, perkara tersebut tidak benar dan tidak pernah ada usaha sedemikian walaupun beliau sebelum ini setuju dengan pandangan ketua pembangkang berhubung isu kelemahan pentadbiran Abdul Khalid.

Beliau berkata, perkara itu hanya perjumpaan untuk mencari jalan memanfaatkan peranan Adun dan membangunkan negeri itu.

"Memang tidak ada kemelut dan tidak ada usaha menukar menteri besar, benda baru bagi saya perkara ini, saya bersetuju dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) malahan usaha kerja itu cukup baik bagi kepentingan negeri

"Kalau Abdul Khalid nafikan, Datuk Seri Anwar nafikan jadi di mana sumber berita ini, ia tidak benar.

"Cuma yang kita usahakan sekarang ialah peranan Adun dan Parlimen PR Selangor harus dimanfaatkan," katanya ketika ditemui pemberita, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Tambahnya, perbincangan yang diadakan bersama Abdul Khalid juga berjalan dengan baik.

"Saya mengambil peluang mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan menteri besar baru-baru ini yang mengambil masa hampir empat jam.

"Kita membincangkan soal pembangunan negeri berdasarkan memorandum yang diantarkan. Jadi perjalanan perbincangan cukup baik," ujarnya.

Semalam, Abdul Khalid telah menolak desas-desus bahawa jawatannya akan diambil alih oleh Mohamed Azmin.

Malah Abdul Khalid menyifatkan khabar angin itu itu sebagai 'asam garam dalam dunia politik'.

"Tidak mengapa, ia perkara biasa dan berlaku negara lain juga seperti di Australia mereka juga menggantikan presiden baru," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, beliau akan terus mengadakan perjumpaan dengan Abdul Khalid bagi membincangkan perkembangan isu berkaitan pentadbiran negeri tersebut.

"Kita juga ada bincang soal sampah, pendidikan, rumah mampu milik, banjir, ini isu yang kita bincang panjang bagaimana kerajaan negeri boleh jadi peneraju bagi menjayakan pogram-program ini.

"Esok saya ada perjumpaan dengan MB, petang esok ada perkembangan yang perlu saya bincangkan dengan beliau (Abdul Khalid)," jelasnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment