Monday 28 October 2013

Bekas banduan bunuh isteri serah diri

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang baru dibebaskan daripada penjara 12 Oktober lalu, menyerah diri kepada polis selepas menikam isteri yang kemudian mati, dalam kejadian di Ladang Bukit Darah Kundang, Sungai Buloh dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek berusia 35 tahun itu menyerah diri di Balai Alam Jaya tidak lama selepas kejadian.

"Dalam kejadian 9 malam itu, suspek pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Suspek menggunakan pisau sepanjang 32 cm untuk menikam isteri yang berusia 36 tahun beberapa kali di bahagian belakang, bagaimanapun mangsa sempat melarikan diri ke rumah jiran dalam keadaan berlumuran darah dan meminta bantuan sebelum mati beberapa minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya siasatan awal juga mendapati pasangan itu sering bergaduh.

Abdul Rahim berkata, suspek sebelum ini menjalani hukuman penjara selama lima bulan dan 10 hari kerana menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

Katanya suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan.

Polis sedang meneliti rekod jenayah suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 506 kanun yang sama.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment