Monday 28 October 2013

36 ekor penyu mati dalam tempoh 9 bulan pertama

DUNGUN – Jabatan Perikanan mengesan 34 ekor penyu agar dan dua ekor penyu karah mati di pantai Terengganu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menurut laporan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, bulan Februari merekodkan jumlah kematian penyu tertinggi iaitu 15 ekor, diikuti Mac (sembilan), April (empat), Jun (tiga), Januari, Ogos masing-masing (dua) dan seekor pada bulan Mei.

Penyu berkenaan ditemui mati di pantai Mercang, Geliga, Pengkalan Atap, Gong Balai, Cakar Hutan, Kijal, Kuala Abang, Paka, Ma’Daerah, Jambu Bongkok dan Pulau Kapas.

Katanya dalam tempoh sama Jabatan Perikanan merampas rawai tanpa umpan sebanyak enam bidang di perairan Terengganu.

Menurut laporan berkenaan, bagi mengurangkan kadar kematian penyu di negeri ini pelbagai program dirangka dalam usaha menyemai rasa tanggungjawab dan keprihatinan orang awam.

Ia membabitkan program penghayatan penyu, penyu angkat, telur angkat dan sukarelawan penyu di kawasan penyu naik bertelur.

Program di luar kawasan penyu bertelur juga dijalankan seperti mengadakan pameran bergerak dan memberi ceramah kepada orang awam dan kanak-kanak sekolah.

Pusat itu, yang merupakan program pengurusan dan pemuliharaan penyu negeri Terengganu, berkata objektif pengurusan penyu ialah untuk melindungi dan mengurus sumber penyu secara mapan bagi memastikan haiwan purba khazanah negara dan negeri itu tidak mengalami kepupusan.


Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment