Friday 4 October 2013

Jangan pergi ke Amerika Syarikat!

Jerman, UK nasihat rakyatnya jangan ke Amerika Syarikat

Jerman dan United Kingdom antara negara yang pertama mengeluarkan kenyataan bagi rakyatnya yang ingin melancong ke Amerika Syarikat bahawa mungkin terdapat kelewatan di jabatan imigresen dan tempat pelancongan susulan penutupan operasi kerajaan AS.

Di dalam notis yang dinaikkan di laman web mereka, Kementerian Luar Jerman memberi amaran “pelancong akan terpaksa menunggu lebih lama di pusat imigresen,” walaupun kawalan trafik udara serta pihak Kastam dan Operasi Keselamatan di lapangan terbang AS beroperasi seperti biasa; manakala kerajaan England juga mengeluarkan amaran yang sama.

Menurut laporan oleh Daily Mail, Persatuan Agen Pelancongan British (ABTA), Persatuan Perdangangan Pelancongan UK bagi pengusaha pelancongan dan agen pelancongan turut memberi amaran kepada pelancong British bahawa mereka mungkin tidak akan menerima ganti rugi untuk perjalanan percutian mereka kecuali ‘sebahagian besar’ perjalanan mereka terjejas akibat penutupan operasi kerajaan AS.

Menurut ABTA, sekitar 30,000 rakyat Britain buat masa ini sedang bercuti di AS dengan hanya sebahagian kecil yang membuat tempahan untuk perjalanan ke taman-taman negara, di mana semuanya telah ditutup.

Rakayt Britain merupakan antara kumpulan terbesar yang kerap melancong ke AS selain rakyat Jerman, menurut statistik Jabatan Perdagangan AS.

Pada Rabu, pemimpin-pemimpin Eropah meluahkan rasa kecewa terhadap kejadian penutupan operasi kerajaan itu, tetapi optimis bahawa kemerosotan ekonomi adalah minimum, asalkan ahli politik AS dapat mencapai kata sepakat dalam masa dua minggu.

“Kerajaan Jerman sedang mengikuti perkembangan semasa di AS secara teliti dan kami kecewa masih tiada sebarang kata putus dibuat berkenaan konflik bajet di AS ini, kata jurucakap kerajaan, Steffen Seibert kepada media, seperti yang dipetik AFP. “Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera.”

Jurucakap Kementerian Ekonomi, Tanja Kraus menambah, “pakar ekonomi kami berkata jika tempoh masa pembekuan perbelanjaan ini pendek dan terdapat kata sepakat dicapai dalam masa dua minggu, maka kesan ekonomi AS dan negara luar tidaklah begitu besar.” - ASTRO Awani 


2 comments: