Friday 4 October 2013

40 orang meninggal dunia masih terima bantuan JKM

Laporan Ketua


SEREMBAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masih memberi bantuan kepada 40 individu yang sudah meninggal dunia di Negeri Sembilan sepanjang tempoh 2008 sehingga 2012.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, didapati sejumlah RM45,350 dibayar kepada 15 orang penerima yang sudah meninggal dunia tidak termasuk 25 yang meninggal pada tahun 2012.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 kes melibatkan wang berjumlah RM23,070 berlaku di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban, empat kes melibatkan wang berjumlah RM19,040 di PKMD Kuala Pilah dan satu kes di PKMD Port Dickson, yang melibatkan wang sebanyak RM3,240.

“Pengiraan adalah dengan mengambil kira wang bantuan kerajaan negeri dan juga bantuan tambahan daripada kerajaan persekutuan. Penerima yang meninggal dunia pada tahun 2012 tidak diambil kira kerana ada di antaranya baru dan belum dimaklumkan kepada PKMD.

“Semakan lanjut mendapati ada antara wang bantuan terlibat diagihkan melalui serahan kepada wakil penerima,” menurut laporan tersebut.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Abdullah Hanapi berkata jabatan telah mengambil tindakan yang proaktif untuk menuntut semula wang tersebut daripada waris.

Katanya, sehingga kini usaha untuk mengesan waris masih lagi dijalankan.

“Jumlah pungutan terkini semakin bertambah daripada statistik yang dikeluarkan laporan audit itu, dan kita yakin ia akan bertambah dari masa ke semasa,” katanya.

Pada Mei 2012, seramai 3,819 orang menerima Bantuan Am secara tunai dan bank bagi PKMD Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson.

Berdasarkan senarai penerima bantuan yang disediakan, pengesahan (melalui nombor kad pengenalan) dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sembilan (JPNNS) sebagai kesahihan atau kewujudan penerima bantuan.

Maklum balas yang diterima daripada JPNNS mendapati seramai 40 orang penerima telah meninggal dunia tetapi nama mereka masih lagi tersenarai dalam senarai penerima bantuan. - ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment