Sunday, 15 December 2013

Pingat emas hadiah perkahwinan

Sukan SEA 2013
Sukan SEA 2013

PESILAT negara, Mohd Al-Jufferi Jamari menyifatkan kejayaannya meraih pingat emas di temasya Sukan SEA ke-27 hari ini sebagai hadiah perkahwinannya pertengahan tahun depan dengan bakal isterinya Noorhafiezah Matasuki, pesilat dari Selangor.

Mohd Al-Jufferi yang berasal dari Kuantan, Pahang itu memperolehi kemenangan mutlak secara TKO 'Technical Knockout' selepas merebahkan pesilat dari Vietnam, Dang Toan Thang hanya dalam masa 1:25' pada aksi akhir Kelas E Putra (Kategori berat badan 65-70kg) di Stadium Tertutup Zayer Thiri dekat sini.

Pingat gangsa bagi acara itu dimenangi bersama pesilat Myanmar, Kyaw Swar Win dan Somkid Rakjun dari Thailand.

Manakala nasib berbeza menimpa pesilat senior negara, Ahmad Shahril Zailudin yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 0-5 dalam kiraan mata kepada pesilat tuan rumah, Kyaw Naing Tun pada acara akhir kelas D Putra (Kategori berat badan 60-65kg).

Pingat gangsa bagi acara itu milik bersama pesilat Indonesia, Sapto Purnomo dan Sakdo Omkaeo, Thailand.

Penyandang gelaran juara acara yang sama pada Sukan SEA Indonesia 2011 itu berkata pada mulanya beliau rasa agak tertekan apabila berdepan dengan pesilat senior namun rezeki perlawanan banyak menyebelahinya.

"Saya mengguna teknik menangkis serangan dengan mengguna kaki menyebabkan bahagian lutut lawan cedera," katanya.

Mohd Al-Jufferi berkata beliau pernah bertemu lawannya sebanyak dua kali sebelum ini termasuk ketika beraksi di Sukan SEA Indonesia 2011.

Sementara itu, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut mengucapkan tahniah kepada pesilat negara kerana mereka telah berjaya menyumbang dua pingat emas pada hari penutup tirai acara silat.

Mohd Ali berharap sumbangan dua pingat emas itu dapat membantu kontinjen negara mencapai sasaran 40 pingat emas seperti yang diletakkan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Pingat emas pertama skuad silat negara disumbangkan Nur Syazreen A Malik dan Nor Hamizah Abu Hassan dalam acara ganda putri.

Hadir sama menyaksikan perlawanan tersebut ialah Timbalan Presiden Myanmar, Dr.Sai Mauk Kham. -- Bernama

No comments:

Post a Comment