Tuesday, 10 December 2013

Kiosk di pasaraya jual kosmetik 'beracun'

KOTA BHARU - Keinginan untuk meraih pendapatan lumayan mendorong pengguna menjual pelbagai kosmetik yang mempunyai racun dan ubat tidak berdaftar kepada pelanggan walaupun sedar produk berkenaan mendatangkan kesan sampingan.

Atas usaha untuk memberi peringatan kepada masyarakat, Cawangan Penguat Kuasa Farmasi negeri, melakukan serbuan terhadap lima kiosk di sebuah pasar raya di sini semalam dan berjaya merampas pelbagai produk bernilai RM10,000.

Ketua Penolong Pengarah Farmasi, Mohd Aswady Adnan berkata, operasi tersebut disertai 15 anggota cawangan penguat kuasa.

“Pihak kami telah melakukan pemeriksaan khas di kiosk yang terdapat di pasar raya di bandar ini sempena cuti sekolah.

“Tujuan operasi adalah untuk memastikan semua ubat dan barangan kosmetik yang dijual di kios dalam pasar raya berkenaan mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya kepada pemberita, dekat sini, semalam.

Mohd Aswady berkata, operasi pemeriksaan khas yang dijalankan oleh pihaknya bermula pada jam 11.30 pagi dan berakhir jam 1.30 petang.

Antara barangan yang dirampas adalah ubat kurus yang tidak berdaftar (Lami), ubatan terkawal (Sibutromine) dan krim 99 yang mengandungi Hydroquinon .

Justeru, katanya, penjual yang mempunyai stok produk berbahaya itu dinasihati menghentikan penjualan dan pengedaran kerana pemilikan produk tersebut melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, bagi produk kosmetik yang dipercayai mengandungi bahan beracun berjadual itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa kawalan dadah Kementerian Kesihatan untuk siasatan lanjut.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 13 (A) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia akan disiasat mengikut Peraturan 7 (1)(a) di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohd Aswady turut menasihatkan pengguna produk kosmetik dan ubat-ubatan supaya lebih berwaspada memilih produk bagi mengelak kemudaratan.

“Pengguna perlu bijak memilih dan banyak membaca tentang kandungan serta bahan yang terdapat dalam sesuatu produk sebelum membelinya," katanya.


Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment