Saturday 16 November 2013

Treler muatan kimia terbalik

Treler muatan kimia terbalik
Farid menunjukkan treler yang dipandunya terbalik dan masuk ke dalam parit di kilometer 231.8 Lebuhraya Utara-Selatan, pagi semalam.


REMBAU – Sebuah treler yang membawa muatan 20 tan bahan kimia terbalik selepas tayar hadapan sebelah kirinya pecah di kilometer 231.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, pemandu treler berkenaan, Mohammad Farid Mazlan, 40, berjaya keluar menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan serta jarinya.

Menurut Farid yang berasal dari Tangkak, Johor, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Singapura ke Klang bagi menghantar 80 tong bahan kimia yang sepatutnya dijangka sampai sekitar jam 7.30 pagi.

“Semasa kejadian saya memandu seperti biasa di laluan perlahan dengan kelajuan sekitar 60 kilometer sejam. Bagaimanapun, secara tiba-tiba tayar sebelah hadapan kiri pecah dan treler yang dipandu terus mengarah ke kiri jalan.

“Saya tidak menjerit dan cemas, namun hati saya tidak henti-henti berselawat serta berharap agar tiada perkara buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memantau bahan kimia berkenaan.

Farid yang dikenali sebagai 'Ali Baba' dalam kalangan rakan-rakannya berkata, dia mula bertolak dari Singapura sejak 8 malam kelmarin dan kebiasaannya sekurang-kurangnya dua ke tiga kali dia bertugas menghantar muatan berkenaan.

“Sudah lapan tahun saya bekerja memandu treler dan ini merupakan pengalaman pertama saya terbabit dalam kemalangan seperti ini. Mujur tiada perkara buruk berlaku," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, sebuah treler hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam parit lalu terbalik.

“Tiada kecederaan serius yang dialami pemandu treler berkenaan," katanya.

Sinar Harian, November 16, 2013

No comments:

Post a Comment