Saturday 16 November 2013

Benarkah Aku Pilih Kamu 'undang' air mata?

Aku Pilih Kamu 'undang' air mata

Aku Pilih Kamu 'undang' air mata

Aku Pilih Kamu 'undang' air mata

BAGI mereka yang hanya menonton sedutan filem atau trailer Aku Pilih Kamu di laman sosial Youtube, pasti beranggapan karya Eyra Rahman ini adalah sebuah kisah klise atau stereotaip yang sering dipersembahkan dalam sesebuah drama atau filem.

Apatah lagi ia berkisar mengenai percintaan terhalang dan si gadis dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarga atas dasar janji yang di buat semasa mereka masih kecil lagi.

Namun, tatkala menonton filem ini di majlis pratonton Aku Pilih Kamu baru-baru ini, penulis menyedari fi lem ini ada kelainan biarpun tema yang diketengahkan pernah di tonton sebelum ini.

Malah pada pendapat penulis, tunjang utama filem ini, Fezrul Khan menjadi nadi dalam menggerakkan segala perasaan kepada penonton dalam menterjemahkan perasaan seorang lelaki yang terpaksa mengotakan janji ketua keluarga yang sudah tiada.

Apatah lagi, Intan Ladyana yang menjadi isterinya di dalam fi lem tersebut begitu menentang perkahwinan tersebut kerana sudah mencintai lelaki lain.

Ketika penceritaan bergerak ke kemuncak, tanpa disedari ada air hangat yang mengalir keluar dari kelopak mata dan membasahi pipi sesetengah penonton yang hadir pada malam pratonton tersebut.

Filem yang sarat dengan babak romantis ini akan membuatkan penonton terbuai dengan beberapa dialog yang barangkali menjadi ikutan selepas ini seperti dialog antara Fezrul dan Intan iaitu "Sebaik awak melangkah ke dalam rumah ini, saya berdoa, setiap kegembiraan saya adalah milik awak dan setiap kedukaan awak akan menjadi milik saya."

Selain itu antara kata-kata yang amat mendalam yang diungkapkan dalam filem ini adalah : " Persahabatan itu perlu ada rasa hormat dan percaya."

Kata-kata seumpama itu cukup untuk menterjemahkan rasa cinta seseorang lelaki tanpa perlu mengungkapkan kata-kata aku cinta padamu yang sememangnya klise dalam sesebuah perhubungan.


Plot ringkas

Secara ringkasnya, filem yang turut dijayakan oleh Zain Hamid, Azhan Rani dan penampilan khas, Dian P Ramlee ini mengisahkan Qesya (Intan) yang dibesarkan dengan kasih sayang ibunya, Laila (Dian). Imran (Azhan), ayah Qesya seorang pegawai tentera yang jarang berada di rumah kerana terlalu sibuk dengan operasi luar.

Keadaan ini membuatkan Qesya sentiasa tidak menyukai ayahnya yang seperti tidak mengambil berat tentang dia dan ibunya. Keadaan bertambah rumit apabila ibunya meninggal dunia kerana sakit. Sejak itu, Qesya dijaga oleh ayahnya.

Iskandar (Zain) adalah kekasih Qesya dan telah menjalinkan hubungan sejak 5 tahun lalu. Iskandar terlalu menyayangi Qesya tetapi dia hanya akan meminang Qesya setelah tamat pengajiannya di tahap tertinggi.

Iskandar dan Qesya juga sering bertemu secara rahsia tetapi sebenarnya Imran mengetahui setiap gerak geri anaknya itu. Hal ini membuatkan Imran menganggap Iskandar lelaki yang kurang bertanggungjawab dan tidak layak untuk anaknya.

Pada suatu hari, Mohd Aliff (Fezrul) muncul bertemu Imran memberitahu ayahnya yang merupakan sahabat baik Imran telah meninggal dunia. Imran sebelum ini telah membuat perjanjian dengan sahabatnya itu untuk menyatukan anak mereka. Pertama kali bertemu Mohd Aliff, Imran terpaut dengan budi pekerti anak muda itu.

Imran tekad mahu menjodohkan Qesya dengan Mohd Aliff. Qesya membantah apabila mengetahui hal ini dan memaksa Iskandar untuk bertemu dengan Imran. Pertemuan ini berakhir dengan pergaduhan dan Iskandar memutuskan hubungannya dengan Qesya.

Qesya mula hilang arah dan Mohd Aliff muncul untuk mengubat hati Qesya. Mohd Aliff tidak mahu memaksa Qesya menerima hubungan mereka yang tiba-tiba namun, dia mengajar Qesya bagaimana mahu mencintai dengan ikhlas kerana ALLAH.

Di saat hati Qesya mula berbunga kembali, Iskandar muncul bersama satu rahsia tentang Mohd Aliff yang juga disembunyikan oleh Imran.

Pada pandangan penulis, cerita ini mempunyai plot yang ringkas dan mudah difahami.

Biarpun boleh dijangka, namun pembawaan Mohd Aliff banyak menyuntik satu perasaan sebak kepada penonton.

Antara sebab lain yang mungkin menjadi punca rasa sebak itu adalah sinematografi yang cukup romantis di tanah tinggi Cameron.

Dengan rumah di atas bukit dengan pemandangan yang cukup mendamaikan di tambah dengan lagu tema filem ini iaitu Hargai Cinta nyanyian Dina Nazir feat Zwen Addeen memberikan sebuah mood yang cukup meruntun jiwa.

Apatah lagi melihat seorang lelaki yang sanggup mengorbankan kebahagiaan orang lain demi insan yang dicintainya.


Gandingan Zain, Intan janggal

Menyentuh mengenai gandingan dalam filem ini pula, pada pandangan penulis gandingan Zain dan Intan kelihatan sedikit janggal biarpun mereka digambarkan sudah bercinta selama lima tahun.

Mereka kelihatan seperti pasangan yang baharu bercinta terutamanya Zain kelihatan tidak mempunyai perasaan terhadap Intan.

Namun, kehadiran Fezrul memberi satu perasaan indah buat mana-mana wanita yang baharu berkahwin lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal kesabaran dalam rumah tangga.


Tiada lagi isu 'ciplak'

Paling penting sekali, Aku Pilih Kamu tidak lagi dikaitkan dengan filem dari luar negara apabila dua karya Eyra sebelum ini iaitu Aku Terima Nikahnya dikaitkan meniru The Vow dan Becinta dikatakan meniru filem lakonan Jennifer Lopez, Enough.

Malah pada pendapat penulis, Eyra berjaya mengolah filem ini dengan cara yang tersendiri dan sentuhan-sentuhan magisnya di beberapa babak yang menyentuh jiwa.

Jadi bagi penonton yang ingin merasai sendiri kesedihan filem ini dan mahu mengetahui apakah rahsia yang cuba disampaikan oleh Iskandar? Serta siapakah yang menjadi pilihan Qesya? Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam anda.

Ulasan oleh: Aqmar Mustaza @Sinar Harian

No comments:

Post a Comment