Sunday 17 November 2013

Mayat separuh bogel depan pagar

Mayat separuh bogel depan pagar
Mayat lelaki dalam keadaan separuh bogel serta diikat kedua-dua kaki dan tangannya ditemui dibuang depan pagar sebuah tempat cuci kereta di Jalan Goh Hock Huat, Klang, semalam.


KLANG - Seorang lelaki tidak menyangka bunyi salakan anjing yang didengari awal pagi semalam adalah petanda terdapat mayat dibuang berdekatan kediamannya di Jalan Goh Hock Huat.

Lelaki berusia 50-an yang enggan dikenali berkata, dia yang tinggal di seberang jalan terjaga pada jam 4 pagi, selepas mendengar bunyi salakan anjing di luar rumah.

"Saya pelik kerana salakan terlalu kuat dan bising. Saya segera keluar rumah untuk melihat, tetapi tak nampak apa-apa sebab gelap. Disebabkan tidak ada apa-apa yang mencurigakan, saya masuk semula ke dalam rumah dan terus tidur," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, pada jam 8 pagi adiknya yang hendak keluar bekerja memaklumkan seorang lelaki ditemui dalam keadaan berikat di seberang jalan.

"Saya memang terkejut dengan berita itu dan yakin salakan anjing awal pagi tadi (semalam) mungkin ada kaitan dengan penemuan mayat berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat itu oleh orang awam kira-kira jam 8.05 pagi, sebelum sepasukan anggotanya dihantar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan menunjukkan mayat lelaki dipercayai warga Myanmar itu berada dalam keadaan separuh bogel, selain kedua-dua tangan dan kakinya diikat dengan tali.

"Polis percaya lelaki berusia lingkungan 20-an itu dibunuh di tempat lain, sebelum mayatnya dibuang depan pagar sebuah tempat cuci kereta di situ. Kita temui banyak kesan lebam di seluruh badannya dipercayai akibat didera.

"Bagaimanapun semua kesan tersebut adalah kesan lama dan kecederaan lain masih belum dapat dipastikan sehingga bedah siasat dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Mohd Shukor berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan motif kejadian sedang disiasat.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti kamera litar tertutup yang dipasang di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment