Sunday 17 November 2013

Lelaki ditahan cederakan mak nyah

Lelaki ditahan cederakan mak nyah
Azman menunjukkan pisau digunakan suspek untuk mencederakan mangsa dan peralatan memecah masuk rumah ekoran penahanan seorang lelaki.


MUAR - Polis berjaya menahan seorang lelaki dalam tempoh kurang daripada dua jam selepas mencederakan seorang lelaki berperwatakan wanita, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek ditahan sekitar jam 4 pagi di sebuah rumah di Jalan Sungai Abong, di sini, yang turut dipercayai dijadikan ‘port’ penyalahgunaan dadah bersama rakannya.

Menurutnya, suspek mengaku mencederakan mangsa dan polis kemudiannya dibawa ke sebuah hotel bajet yang dijadikan tempat persembunyian.

“Di hotel itu, polis menemui peralatan pecah rumah, pecah kereta dan pisau.

“Dalam kejadian antara suspek dan lelaki berperwatakan wanita ini, suspek bertindak menetak kepala mangsa menggunakan pisau dalam cubaan samun.

“Mangsa mengalami kecederaan dengan lima kesan tetakan pada bahagian kepala, dua di muka dan dua lagi di tangan kiri,” katanya pada sidang akhbar di IPD Muar, di sini semalam.

Azman berkata, suspek berusia 25 tahun itu berasal dari Mersing dan didapati positif dadah jenis syabu.

“Suspek direman hingga 20 November ini untuk siasatan lanjut, selain ada empat rekod lampau di bawah Seksyen 506 kanun keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan dadah dilakukan sejak 2009,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment