Tuesday 8 October 2013

Ugut bunuh, belasah adik ipar

Ugut bunuh, belasah adik ipar
Tertuduh dikawal polis keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara, semalam.


KOTA BHARU - Padah ugut bunuh dan belasah adik ipar kerana menjadi halangan aktiviti menagih dadah bersama rakan-rakannya, seorang pekerja kedai aksesori kereta dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas tertuduh, Ahmad Nabil Ismail, 28, dari Paya Bemban, di sini mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa mengugut hendak membunuh Mohd Hilmi Salleh, 25, dengan niat mendatangkan kecederaan dan kematian kepadanya di sebuah rumah di Paya Bemban di sini, pada jam 10 malam, 17 Ogos.

Manakala, pada tuduhan kedua, tertuduh juga dihukum penjara enam bulan selepas mengaku salah pada masa sama menumbuk di kepala dan mengheret mangsa keluar rumah.

Kejadian sebenar berpunca daripada tertuduh yang tidak suka dengan kehadiran mangsa di rumahnya itu dipercayai kerana tidak dapat membawa kawan-kawannya ke rumah bagi aktiviti menagih dadah.

Ketika itu, mangsa yang sedang minum di rumah milik mertuanya itu tiba-tiba ditegur tertuduh supaya tidak kurang ajar jika ingin tinggal di rumah itu.

Pengadu bertanya kembali bila dia berlaku biadab, bagaimanapun, pertanyaan itu mengundang kemarahan tertuduh yang kemudian menyerang dan membelasahnya.

Pada prosiding semalam, Nik Habri mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut secara serentak.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.


Sumber: Sinar Harian, Oct. 8

No comments:

Post a Comment