Friday 13 September 2013

Malaysia naik satu anak tangga dalam ranking terbaharu FIFA

Malaysia naik satu anak tangga dalam ranking terbaharu FIFA

Kekalahan 0-2 skuad Harimau Malaya kepada China dalam aksi persahabatan di negara berkenaan, Selasa lepas, tidak menjejaskan kedudukan mereka dalam ranking bola sepak dunia.

Berdasarkan ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) Khamis, skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal sebaliknya naik satu anak tangga ke kedudukan ke-161 berbanding 162 pada bulan lepas.

Pada Januari, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158, Februari (159) Mac (164), April (163), Mei (161) selain kekal berada pada kedudukan ke-159 dunia pada Jun dan Julai.

Kedudukan terbaru itu meletakkan pasukan kebangsaan setanding dengan beberapa pasukan lain seperti Nepal (163), Bangladesh (166), Sri Lanka (168) dan Pakistan (170).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia kekal berada di tangga kelima di belakang Thailand (139), Filipina (141), Vietnam (153) dan Singapura (159).

Di peringkat Asia, Malaysia naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-30 daripada 46 negara.

Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,514 mata.

Argentina yang berada di tangga keempat sebelum ini, merampas tangga kedua daripada Jerman dengan pungutan 1,263 mata berikutan persembahan cemerlang mereka dalam perlawanan persahabatan dan aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Amerika Selatan.

Jerman pula turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga dengan mengumpul 1,261 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu melibatkan 209 negara. -- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment