Friday 13 September 2013

Harga tepung dan gula tidak akan naik walaupun harga minyak sudah naik

Harga tepung dan gula tidak akan naik di sebalik pengurangan subsidi petrol RON 95 dan diesel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek memberi jaminan ia berdasarkan persetujuan antara kementerian dengan beberapa pengeluar dan pengilang utama dua komoditi makanan itu, semasa pertemuan pada Selasa.

Jelas Hasan pengeluar dan pengilang memberitahu bekalan gula dan tepung mencukupi dan bersetuju untuk tidak menaikkan harga barangan tersebut.

Ini bermakna peniaga tidak boleh menaikkan harga barangan berkenaan sewenang-wenangnya.

Kementerian sebelum ini mengadakan pertemuan serupa dengan pengilang dan pengeluar barangan lain termasuk pengusaha pasar raya.

Kebanyakan mereka bersetuju dan menyokong langkah kerajaan mengurangkan subsidi petrol RON 95 dan diesel yang membawa kepada kenaikan 20 sen harga dua bahan api terbabit.

Dalam pada itu, Hasan berkata sejak pengumuman kerajaan berhubung pengurangan subsidi minyak 30,538 pemeriksaan dibuat terhadap peniaga menerusi Ops harga.

Daripada jumlah itu, 157 kesalahan dikesan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang Dan Sukat 1972 dengan kompaun RM16,530 dikeluarkan.

Selain itu, pihaknya juga merampas barangan bernilai RM55,382.20 daripada  peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk menaikkan harga barangan, tidak mempamerkan harga dan menjual barangan tiruan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Shaani Abdullah berkata tepung dan gula , sebagai barang kawalan sepatutnya tiada soal kenaikkan harga sehingga kerajaan kaji semula kedudukan harga barangan runcit di pasaran.


- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment