Tuesday 10 September 2013

Malaysia layak ke final Pestabola Merdeka 2013

Malaysia layak ke final Pestabola Merdeka 2013

Malaysia mengesahkan slot ke final Kejohanan Pestabila Merdeka 2013 selepas mencatatkan kemenangan kedua dengan mengatasi Myanmar 2-1 di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Muda A itu menerajui kedudukan teratas daripada empat negara yang bertanding dengan mengumpul enam mata maksimum dengan baki satu perlawanan.

Malaysia, yang sebelum ini mengalahkan Singapura 1-0, Sabtu lepas, bagaimanapun bangkit daripada ketinggalan 1-0 pada babak pertama sebelum Wan Zack Haikal Wan Nor menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-78.

Malaysia mempunyai beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan gol pembukaan menerusi percubaan pemain pertahanan, Md Fadhli Mohd Shas serta penyerang, Wan Zack Haikal namun dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung.

Malaysia seharusnya berada di depan pada minit ke-33 menerusi gol pemain tengah, Putera Nadher Amarhan namun tandukannya ke dalam gawang Myanmar tidak dikira kerana berada dalam kedudukan offsaid.

Kelekaan barisan pertahanan negara dihukum oleh pemain tengah Myanmar, Nay Lin Tun yang menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-38.

Gol tersebut berpunca daripada sepakan penjuru yang ditanduk kemas oleh Lin Tun namun ditepis penjaga gol negara, Mohd Izham Tarmizi Roslan sebelum mengenai pertahanan negara dan terus memasuki pintu gol.

Bersambung separuh masa kedua, pengendali skuad B-23 negara, Ong Kim Swee melakukan perubahan taktikal dengan mengarahkan anak didiknya melakukan serangan bertali arus ke kubu pasukan pelawat untuk mencari gol penyamaan.

Hasilnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 menerusi jaringan kapten pasukan, Mohd Irfan Fazail yang menyudahkan hantaran Putera Nadher, sekali gus menceriakan hampir 2,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.

Wan Zack Haikal menjadi wira pasukan apabila melakukan sepakan percuma yang menarik daripada luar kotak penalti.

Pemain tengah Myanmar, Kyi Lin dibuang padang oleh pengadil Singapura, Abdul Malik Abdul Bashir pada masa kecederaan kerana cuba meludah ke arah pengadil kerana tidak puas hati dengan keputusan pengadil itu.

Sebelum itu, pemain dilayangkan kad kuning kerana mengasari pemain Malaysia.

Malaysia akan menamatkan jadual pusingan awal dengan menentang Thailand di stadium sama manakala Myanmar akan bertemu Singapura di Stadium Mini Temerloh, Rabu ini.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment