Sunday 29 September 2013

Liz Taylor: 7 suami, 8 perkahwinan

Liz Taylor
Liz Taylor


  • Liz Taylor Taylor bersama keluarganya ketika majlis hari jadi ke-70 di Las Vegas.


Jelingan seksi dan kecantikan Elizabeth Taylor tidak mungkin dilupakan dalam dunia perfileman Hollywood. Imej seksi dibawanya itu sering menggegarkan dunia perfileman selain menjadi buruan penerbit dan pengarah filem ketika era 40-an di Amerika Syarikat (AS).

Wanita yang pernah berkahwin lapan kali ini membuat penampilan pertama menerusi filem There's One Born Every Minute (1942) diikuti National Velvet (1944). Sungguh pun berjaya merangkul anugerah berprestij Academy Awards melalui filem Butterfield 8 (1960) dan Who’s Afraid of Virginia Woolf? (1965), Taylor dikatakan meraih popular dengan kisah perkahwinannya.


Latar belakang

Taylor mewarnai karier dunia filem sepanjang enam dekad bukan dengan menampilkan bakat sahaja. Setiap hasil kerjanya sebagai pelakon dibawa sehingga memberi kesan emosi mendalam kepada penonton.

Elizabeth Rosemond Taylor adalah anak kepada peniaga lukisan warga AS dan dilahirkan di Britain.

Ketika Perang Dunia II, keluarganya menetap di London dan berpindah semula ke Los Angeles selepas tamat perang. Pada usia 3 tahun, Taylor diberi penghormatan mempersembahkan tarian di hadapan Puteri Elizabeth and Margaret.


Bintang cilik

Pada usia 10 tahun, beliau menandatangani kontrak dengan Universal Studios dan membuat penampilan sulung menerusi There’s One Born Every Minute (1942).

Selepas itu, beliau diberi kepercayaan mendukung watak lebih berat menerusi Lassie Come Home (1943) dan The White Cliffs of Dover (1944). Kemuncak popularitinya menyinar ketika usia 12 tahun melalui filem National Velvet. Selepas empat bulan penggambaran, segala penat lelahnya terbayar apabila filem itu meraih box office dengan kutipan AS$4 juta (RM13 juta).


Kehidupan peribadi

Ketika meniti kemasyhuran, beliau tidak terkecuali melalui saat sedih. Pada 1958, beliau bergelar janda muda apabila suaminya, perintis pengeluar filem Mike Todd terbunuh dalam nahas kapal terbang. Selepas kematiannya, Taylor terlibat dalam skandal terbesar Hollywood apabila menjalin hubungan dengan teman rapat Todd, Eddie Fisher. Fisher yang ketika itu sedang mabuk cinta sanggup menceraikan isterinya, Debbie Reynolds dan berkahwin dengan Taylor. Namun, perkahwinan lima tahun itu tidak kekal apabila Taylor meninggalkan Fisher dan bernikah dengan Richard Burton.

Mereka dikatakan jatuh cinta di lokasi filem Cleopatra hingga filem itu box office. Selepas itu, beliau juga terlibat dengan beberapa cinta lokasi dengan John Warner dan Larry Fortensky.


Sumbangan

Ketika menjadi tetamu di hospital atas jemputan pelakon Rock Hudson, beliau mula terlibat dalam program kebajikan. Kesedaran itu juga diraih selepas Hudson meninggal dunia akibat Aids.

Taylor kemudiannya menubuhkan Yayasan Elizabeth Taylor HIV/Aids dan bertanggungjawab membuat kajian dan membantu pesakit.

Sepanjang kariernya, Taylor menerima pelbagai anugerah seperti American Film Institute’s Life Achievement dan pada 2000, beliau menubuhkan Dame Commander Order of British Empire (DBE).


Masalah kesihatan

Sepanjang 90-an, kehidupan glamornya menurun selepas disahkan mengidap penyakit kencing manis dan jantung.

Pada 1997, beliau melakukan pembedahan ketumbuhan otak dan 13 tahun kemudian Taylor berjaya melakukan pembedahan jantung.

Pada Februari 2011, Taylor sekali lagi mengalami masalah jantung dan dimasukkan ke Hospital Cedars-Sinai. Sebulan kemudian, pada 23 Mac, Taylor meninggal dunia akibat masalah jantung pada usia 79 tahun.

Ketika ucapan belasungkawa di Forest Lawn Memorial Park Glendale, anaknya Michael Howard Wilding berkata, “Ibu adalah wanita luar biasa, penuh jenaka dan kasih sayang. Segala sumbangan beliau kepada dunia menjadi ilham buat kami,” . Taylor kemudiannya disemadikan di Great Mausoleum dalam upacara tertutup.

Kejayaan:

1950 Ketika usia 18 tahun beliau membintangi watak utama dalam filem Spencer Tracy in Father of the Bride.

1954 beliau membintangi tiga filem The Last Time I Saw Paris, Rhapsody dan Elephant Walk. Berkahwin dengan jutawan Howard Hughes ketika usia 17 tahun.

1952 berkahwin dengan aktor Michael Welding.

1956 membintangi drama A Place in the Sun, diadaptasi dari novel Edna Ferber.

1958 membintangi filem terunggul Tennessee Williams’ Cat on a Hot Tin Roof.

1959 membintangi filem Suddenly Last Summer. Meraih anugerah pertama Oscar dalam kategori Artis Terbaik menerusi Butterfield 8.

Profil:

Nama penuh: Elizabeth Rosemond Taylor
Nama samaran: Liz Taylor
Tarikh lahir: 27 Februari 1932
Tempat lahir: Hampstead, London, England
Meninggal dunia: 23 Mac 2011 (umur 79) di Los Angeles, California, A.S.
Sebab kematian: Kegagalan jantung
Kerjaya: Pelakon
Tahun aktif: 1942–2007
Suami:
Conrad Hilton, Jr. (1950–1951)
Michael Wilding (1952–1957)
Mike Todd (1957–1958)
Eddie Fisher (1959–1964)
Richard Burton (1964–1974, 1975–1976)
John Warner (1976–1982)
Larry Fortensky (1991–1996)

Anak: Michael Howard Wilding (60 tahun), Christopher Edward Wilding (58), Elizabeth Frances ‘Liza Todd’ (56), Maria Burton (52) Bapa: Francis Lenn Taylor Ibu: Sara Sothern


Sumber

No comments:

Post a Comment