Sunday 29 September 2013

Kediaman berlantaikan tanah, berdindingkan plastik

Lantai tanah, berdinding plastikKeluarga Rosdi bergambar di dalam rumah mereka yang berlantaikan tanah.


Lantai tanah, berdinding plastikSharifah menunjukkan bahagian dapur rumahnya


SIK - Kesempitan hidup memaksa sebuah keluarga di sini tetap menghuni rumah yang masih belum mampu disiapkan.

Keluarga yang tinggal di Persiaran 6, Bandar Baru Beris Jaya itu tinggal di dalam kediaman yang hanya berlantaikan tanah dan berdindingkan plastik.

Pemilik rumah, Rosdi Hashim, 52, berkata, masalah kewangan menjadi punca dia tidak mampu menyiapkan rumah tersebut.

“Jika saya mempunyai lebihan wang, saya akan menyiapkan rumah ini sedikit demi sedikit tanpa bantuan sesiapa. Tetapi, saya dan isteri, Sharifah Yusof, 34, hanya bekerja menoreh getah di kebun milik orang dan hanya mampu memperoleh pendapatan RM100 seminggu.

“Pernah kami sekeluarga terputus bekalan makanan kerana tuan kebun getah tidak membenarkan kami menoreh di kebunnya lagi pada suatu ketika dulu,” katanya.

Rosdi berkata, selain itu mereka akan hilang punca pendapatan sekiranya musim hujan kerana tidak dapat pergi menoreh.

Menurutnya, susulan kesulitan dihadapi, dia dan isterinya sangat berharap pihak berkenaan dapat memberi bantuan tertentu bagi membolehkannya menyiapkan rumah separuh siap diduduki.

“Saya tidak mengharapkan bantuan lain, cuma bantuan yang membolehkan saya menyiapkan rumah ini sahaja yang saya perlukan. Saya raya bersyukur jika rumah ini dapat disiapkan secepat mungkin. Rumah kami tiada pintu, ini memudahkan binatang berbisa seperti ular masuk.

"Pernah pada bulan lepas ular memasuki bilik tidur kami. Selain itu, kami sekeluarga hanya berkongsi tandas, air dan elektrik dengan jiran di hadapan rumah,” katanya.

Sharifah pula berkata, rumah mereka akan dimasuki air apabila musim hujan kerana dinding yang digunakan hanyalah dinding plastik.

“Tempat tidur kami akan ditenggelami air sekiranya hujan turun berpanjangan. Hal ini menyukarkan kami kerana peralatan termasuk barang persekolahan anak kami akan basah,” katanya.

Menurutnya, raya kali ini keluarganya juga tidak pulang ke rumah ibunya di Kulim atas faktor ketiadaan kenderaan, kerana hanya memiliki motosikal buruk yang hanya boleh digunakan untuk menghantar anak ke sekolah dan pergi menoreh.

“Saya pernah mengalami keguguran pada Mac lalu, namun hanya berehat beberapa minggu dan kembali menoreh kerana memikirkan sumber pendapatan yang tidak mencukupi.

“Saya dan suami sentiasa bekerja keras bagi membolehkan kami menampung kos sara hidup seharian,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment