Friday 23 August 2013

SPAD sedang bangunkan sistem pangkalan data pemandu

SPAD sedang bangunkan sistem pangkalan data pemandu
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang membangunkan sistem pangkalan data maklumat pemandu yang mengandungi maklumat pemandu pengangkutan awam.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata sistem itu apabila siap akan membolehkan pengendali bas dan pengguna untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai pemandu.

Menurutnya, sistem itu diwujudkan atas dasar perkongsian maklumat bertujuan mengelak pengendali pengangkutan awam, termasuk bas dan teksi mengambil pemandu yang mempunyai rekod jenayah serta disenaraihitam.

“Di mana sistem maklumat pemandu itu akan bergantung kepada maklumat yang diberikan kepada kami jadi kami harap akan berkerjasama dengan Polis dan JPJ jadi kita akan dapat membuat peperiksaan menyeluruh.,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Buat masa ini, syarikat yang pengendali pengangkutan awam hanya bergantung kepada maklumat yang dikemukakan oleh pemandu itu sendiri.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, usaha membangunkan sistem berkenaan dimulakan awal tahun lalu kerana, maklumat mengenai pemandu yang mempunyai rekod jenayah dan disenaraihitamkan hanya dimiliki oleh jabatan pengangkutan jalan dan polis.

Bagaimanapun, jelasnya SPAD sedang meneliti sistem berkenaan dari aspek perundangan bagi mengelak sebarang pelanggaran undang-undang.

“Banyak isu perundangan seperti pencabulan ruang peribadi, kerahsiaan maklumat dan kita sedang menyelesaikan perkara itu dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan,” jelasnya lagi.

Tambahnya, tatacara teknikal sistem itu sudah disiapkan dan dijangka dapat digunakan awal tahun depan.

Mengulas mengenai kemalangan bas yang mengakibatkan 37 orang maut di genting highlands, beliau meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi serta menunding jari kepada mana-mana pihak, kerana punca nahas itu masih dalam siasatan.

“Kemalangan itu kini dalam siasatan meskipun terdapat beberapa perkara yang jelas tapi adalah lebih baik kita tidak menyalahkan mana-mana pihak melainkan kita mempunyai laporan teknikal yang membenarkan kita mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya SPAD telah diarahkan untuk mengetuai jawatankuasa khas yang dibentuk bagi menyiasat punca kemalangan itu dengan kerjasama beberapa pihak berkaitan.

Bagaimanapun jelasnya jawatankuasa berkenaan hanya akan memulakan tugasnya setelah mendapat laporan awal Daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
 


Sumber: http://www.astroawani.com/news/show/spad-sedang-bangunkan-sistem-pangkalan-data-pemandu-20914?cp

No comments:

Post a Comment