Tuesday 20 August 2013

Gajah di zoo di Melaka dipercayai didera

Gajah di zoo di Melaka dipercayai didera

KUALA LUMPUR:  Gajah-gajah yang disimpan di zoo A’Famosa Resort Melaka dipercayai telah didera dan dianiaya dan kejadian itu dipercayai telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu.

Hasil tinjauan Astro AWANI ke lokasi tersebut mendapati gajah berkenaan dirantai kakinya dan ada di antaranya kelihatan kurus serta tidak sihat.

Tinjauan itu dibuat setelah mendapat maklumat daripada sebuah badan bukan kerajaan(NGO), Friends of the Orangutans (FOTO).

kurus

Tinjauan itu juga mendapati:

  • Ketika gajah-gajah tersebut tidak aktif, mereka diletakkan di sebuah lokasi tersembunyi yang seakan-akan merupai bangsal terbuka; 
  • Lokasi itu dilihat tidak diselenggarakan dengan baik;
  • Sisa-sisa buangan gajah tidak dicuci dengan sebaiknya.
  • Tiada makanan atau minuman yang kelihatan tersedia untuk diberikan kepada gajah tersebut.

Beberapa keping foto yang dirakam sejak 2011 menunjukkan kualiti keadaan tempat tinggal gajah-gajah itu tidak banyak berubah dari tahun ke tahun.

Imej-imej dari foto tersebut tersebut telah membawa kepada penyiasatan Astro AWANI dengan kerjasama NGO itu.

Hasil penyiasatan tersebut membawa kepada satu penemuan yang mengejutkan apabila seekor gajah dilihat telah dipukul berulang kali menggunakan satu objek panjang yang mempunyai cangkuk.


Pukulan, yang kedengaran begitu kuat itu, dilakukan oleh seorang lelaki yang dipercayai kakitangan A’Famosa. Kejadian ini dirakamkan oleh Astro AWANI selepas mendengar jeritan gajah berkenaan.

Pengarah FOTO Upreshpal Singh menyifatkan keadaan yang dialami oleh gajah-gajah itu sebagai "dahsyat" dan cara penjagaannya boleh dianggap sebagai satu “penderaan”.

Upreshpal, yang kerap menjalankan siasatan terhadap zoo yang lain, menambah: “Gajah-gajah ini memberi keuntungan kepada tempat ini, untuk persembahan dan sebagainya tetapi apabila tidak bekerja, mereka diletakkan di sini dan dirantai. Malah mereka dipukul dengan kejam dan ini tidak boleh diterima.”

Upreshpal mendesak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara(Perhilitan) menyiasat dan mengheret pihak berkenan ke mahkamah mengikut Seksyen 86 Akta Haiwan Liar 2010 atas kesalahan menganiayai haiwan.

rantai besi

Beliau juga menggesa supaya gajah-gajah itu dibebaskan daripada rantai dan diberikan makanan serta makanan yang mencukupi dan diletakkan dalam habitat yang lebih baik.

Dalam satu kenyataan, jurucakap A'Famosa, Robert Na menafikan semua tuduhan yang dilemparkan terhadap resort itu.

“(Kami) kesal bahawa tuduhan-tuduhan yang telah dibawa kepada perhatian anda adalah dengan nyata tidak betul dan mungkin telah dihantar oleh beberapa kumpulan yang ada kepentingan tertentu.”

“Saya ingin menjelaskan bahawa gajah berkenaan disimpan mengikut standard antarabangsa yang diterima. Pukulan gajah adalah dilarang sama sekali oleh pihak pengurusa,” kata Na.

Tambahnya lagi, pihak berkuasa kerap kali melawat untuk memastikan kesejahteraan haiwan di A’ Famosa.

Ketika dihubungi, Timbalan Ketua Pengarah Perhilitan Dr Zaaba Zainol Abidin berkata jabatan itu tidak menyedari apa yang berlaku tetapi sudah meminta satu siasatan dijalankan.

Berikutan itu, pengarah Perhilitan Melaka Mohammad Khairi Ahmad memberitahu Astro AWANI bahawa pihaknya telah melakukan satu tinjauan ke zoo itu dua minggu lalu dan mendapati bahawa tidak ada penganiayaan seperti yang didakwa.

“Syarat-syarat untuk menyimpan gajah semua diikuti, tempat (di mana mereka disimpan) bersih dan tidak melanggar akta kami," katanya.

Mohammad Khairi juga berkata, laporan audit sebelum itu iaitu pada bulan April juga menunjukkan bahawa amalan A'Famosa adalah memuaskan.


- Astro Awani

No comments:

Post a Comment