Thursday 29 August 2013

FGV mulakan pengeluaran komersil biodiesel di Kuantan


FGV mulakan pengeluaran komersil biodiesel di Kuantan

KUANTAN:  Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) merancang memulakan pengeluaran komersil biodiesel di kilangnya di Kuantan bulan depan.

Kilang menelan kos RM 35 juta itu yang dibeli pada April lepas, beroperasi sejak 1 Julai, 2013.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Emir Mavani Abdullah berkata perniagaan baharu itu sejajar dengan strategi FGVH menggerakkan lagi perniagaan hilirannya dalam usaha untuk melindungi perniagaan huluannya.

"Kami telahpun berada di tahap pengeluaran akhir. Kini kami sedang menguji produk dan akan memulakan pengeluaran komersil, harapnya dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang," katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya syarikat di sini, Selasa.

Beliau berkata FGVH juga membentuk sebuah syarikat konsortium dengan Sime Darby Bhd, yang dinamakan Biodiesel Malaysia Sdn Bhd, untuk meningkatkan lagi industri.

Pengerusinya Tan Sri Isa Samad berkata penubuhan konsortium tersebut bertujuan untuk mengurangkan simpanan stok minyak sawit mentah (MSM) negara bagi menyokong harga.

Ini, katanya, merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan stok kerana disebabkan bekalan yang terlampau banyak bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, ia akan menyebabkan permintaan menjadi kurang, yang seterusnya membawa kepada penurunan harga.

FGVH dan Sime Darby setiap satu memegang 32 peratus pegangan dalam konsortium itu.

Pegangan selebihnya diperuntukkan bagi syarikat perladangan, peserta biodiesel dan pelabur lain.

Isa berkata FGVH masih sedang mencari pelabur yang sesuai untuk menyertai konsortium itu bagi mengembangkan pasaran biodiesel b5 dan b10, dalam dan luar negara.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment