Sunday 4 August 2013

"Buktikan, jika kamu anak jantan," kata Karpal terhadap dakwaan Mazlan Ismail



PETALING JAYA:  Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini mencabar bekas calon Permatang Pauh Barisan Nasional (BN) Mazlan Ismail untuk membuktikan bahawa beliau telah dibayar RM50 juta untuk merasuah peguam pendakawaraya dan hakim.

“Saya cabar Mazlan jika beliau anak jantan untuk memgemukakan akaun-akaun bank tersebut serta nama individu yang memberikan maklumat itu, yang dikatakannya bekas pekerja saya.

“Bukan sahaja Mazlan, saya juga mencabar TV3, Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) untuk melakukan yang sama,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, Ahad.

Dan saya memberi amaran bagi pihak saya dan juga Anwar Ibrahim bahawa kami tidak akan biarkan dakwaan sebegitu diketepikan begitu sahaja.

Beliau secara keras telah menafikan dakwaan tersebut sambil menyifatkannya sebagai mengarut, tidak berasas dan dilakukan secara melulu.

Karpal, bersama dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan failkan saman fitnah terhadap Mazlan, TV3, Utusan Malaysia dan NST terhadap dakwaan tersebut yang mengatakan RM50 juta itu telah dibayar oleh Anwar.

Katanya Mazlan sepatutnya merujuk untuk mengesahkan perkara tersebut sebelum membuat sebarang dakwaan.

Jelasnya, Mazlan sepatutnya pergi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis daripada membuat dakwaan tersebut secara terbuka.

Karpal juga menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Arifin Zakaria supaya tidak berdiam diri, sebaliknya mereka harus bertindak segera sebagai pembelaan terhadap kehakiman negara.

“Peguam Negara tidak boleh berdiam diri.. dia harus mengambil tindakan. Begitu juga dengan Ketua Hakim Negara.. beliau perlu respon dalam pembelaan terhadap kehakiman,” katanya.

Karpal juga memberitahu, beliau tidak ada masalah sekiranya SPRM ingin menyiasat akaun simpana beliau.

Sementara itu, Anwar menyifatkan isu tersebut sebagai helah untuk mengalihkan pandangan orang ramai daripada isu-isu seperti ekonomi, jenayah dan juga rasuah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan isu tersebut sebagai sesuatu yang direka untuk menjatuhkan beliau dan Karpal.

Pada 2 Ogos, TV3 melaporkan bahawa Mazlan telah menerima 6,000 salinan surat sejak minggu lalu.
Surat lapan halaman yang tertera Untuk Pengundi Permatang Pauh telah dihantar ke rumah penduduk dan antara lain mengandungi pelbagai nombor akaun bank yang didakwa milik Anwar.

Laporan yang sama juga telah dibuat oleh Utusan Malaysia dan NST pada hari yang sama yang mengandungi dakwaan bahawa Karpal telah dibayar RM50 juta.

Selain itu, satu laporan polis juga telah dibuat oleh Anwar dan Karpal di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya kira-kira jam 12 tengah hari tadi. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment