Sunday 4 August 2013

Amaran angin kencang di Johor timur, Pahang dan Sarawak

BERNAMA - Sunday, Aug 4, 2013

KUALA LUMPUR - Keadaan angin kencang yang melanda perairan Johor Timur, Pahang serta Kudat dan Sandakan di Sabah serta Sulu dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi laman sesawangnya melaporkan keadaan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam itu menyebabkan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.
Sementara itu, keadaan angin kencang barat daya dengan kelajuan 50-60 kmsj dan ombak setinggi hingga 4.5 meter yang melanda perairan Phuket, Thailand diramal berterusan sehingga Jumaat ini.
Jabatan itu turut meramalkan keadaan angin kencang barat daya dengan kelajuan 40-50 kmsj dan ombak setinggi hingga 3.5 meter melanda perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan, perkhidmatan feri, bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

No comments:

Post a Comment