Tuesday, 11 June 2013

Pampasan insurans RM50,000 untuk keluarga Mohammad Shahrulnizam

Pampasan insurans RM50,000 untuk keluarga Mohammad Shahrulnizam

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menyerahkan pampasan insurans berjumlah RM50,000 kepada keluarga Allahyarham Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari yang meninggal dunia akibat penyakit akut gunung (AMS) ketika dalam perjalanan ke Everest Base Camp pada 3 Jun lalu.

Presiden PPj Tan Sri Aseh Che Mat berkata walaupun Mohammad Shahrulnizam merupakan penolong jurutera kontrak PPj, Allahyarham layak mendapat pampasan insurans seperti pekerja tetap perbadanan itu.

"Kita akan cuba usahakan. Saya fikir ini tidak menjadi masalah. Walaupun beliau pegawai kontrak, apa juga faedah yang diterima pekerja tetap beliau juga layak, kecuali tiada pencen," katanya pemberita selepas majlis makan malam sempena pelayaran pertama Cruise Tasik mengelilingi Pusat Pentadbiran Persekutuan di sini Isnin malam.

Aseh berkata PPj juga akan melakukan kutipan dalam kalangan warga kerjanya bagi menghulur sumbangan segera kepada keluarga Allahyarham.

Mohammad Shahrulnizam, 25, meninggal dunia akibat AMS ketika di Labuche dalam perjalanan ke Everest Base Camp dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah, Klang, Khamis lepas.

Ekspedisi Mendaki Gunung Kala Patthar dan Everest Base yang bermula 27 Mei itu disertai 14 pendaki (11 lelaki dan tiga wanita) yang mewakili Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan PPj.


BERNAMA

No comments:

Post a comment