Wednesday, 1 October 2014

Berita baik! RON95, diesel naik 20 sen mulai tengah malam ini

Sumber berita ini daripada Astro Awani:

Subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter. Gambar fail

Harga petrol RON95 dan diesel akan mengalami kenaikan sebanyak 20 sen seliter mulai tengah malam ini, menjadikan harga runcit baharu bagi RON95 sebanyak RM2.30 manakala diesel, RM2.20.

Ini berikutan pengumuman daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkenaan subsidi petrol RON95 dan diesel yang dikurangkan sebanyak 20 sen seliter, berkuatkuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014.

Menurut kenyataan KPDNKK pada Rabu, harga pasaran bagi petrol RON95 pada masa ini ialah RM2.58 seliter dan diesel RM2.52 seliter.

"Walaupun dengan pengurangan kadar subsidi ini, kerajaan masih perlu membelanjakan lebih RM21 bilion untuk subsidi petrol RON95, diesel dan LPG bagi tahun 2014.

"Langkah ini adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

"Kerajaan juga dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan oleh golongan tidak bertanggungjawab," kata kenyataan tersebut.

KPDNKK memaklumkan, dapat menghasilkan penjimatan yang setimpal dan boleh digunakan untuk pembangunan pendidikan, kesihatan, sistem pengangkutan awam yang lebih meluas dan cekap serta meningkatkan keselamatan negara.

"Langkah rasionalisasi subsidi ini merupakan sebahagian daripada usaha mentransformasi ekonomi negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

"Kerajaan yakin langkah ini akan mengukuhkan lagi asas kewangan dan ekonomi negara bagi menghadapi cabaran ekonomi global serta memastikan kemakmuran negara dalam jangka masa panjang," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPDNKK turut mengambil maklum bahawa langkah rasionalisasi subsidi ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat.

Demi mengurangkan beban yang ditanggung, KPDNKK memberitahu kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan untuk meringankan beban, terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Justeru, menurut kenyataan tersebut, kerajaan dijangka menaikkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan diumumkan dalam Bajet 2015 nanti.

Kejam! Wanita ditemui mati, dikerat dan dibakar

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya dalam kejadian di Kampung Tok Keramat, Juru, Pulau Pinang.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai 'Intan' berusia lewat 20-an dari Teluk Air Tawar, Butterworth turut dipercayai dikerat dan dibakar.

Difahamkan wanita malang yang juga pengusaha kedai runcit itu datang ke rumah lelaki berkenaan pada Isnin lalu untuk bertemu suspek yang berusia 40-an.

Menurut sumber, kejadian disedari oleh anak saudara suspek yang melihat keadaannya yang mencurigakan sebelum memaklumkan kepada ibunya petang semalam.

Ahli keluarga suspek kemudiannya memeriksa kawasan berkenaan petang semalam dan menemui serpihan tulang terbakar dan pakaian dipenuhi darah.

Ekoran itu, laporan polis dibuat dan sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan malam tadi.

Difahamkan pasukan forensik polis yang menjalankan pemeriksaan ditempat kejadian kira- kira jam 2 pagi tadi turut menemui tulang dan gigi dipercayai milik mangsa.

Sementara itu Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian pagi tadi mengesahkan cebisan tulang yang ditemui di kawasan rumah saspek adalah tulang manusia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Nor pula ketika dihubungi memaklumkan pihaknya mendapat maklumat kejadian tersebut daripada orang awam dan sepasukan polis dihantar untuk melakukan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan pihak polis menemui beberapa serpihan tulang yang terbakar hasil pencarian yang dilakukan di kawasan berhampiran rumah wanita yang dilaporkan dibunuh dan dibakar teman lelakinya.

Usaha pencarian saki baki tulang berkenaan sedang diteruskan membabitkan unit forensik, anjing pengesan (k-9) dan pasukan penyelam pasukan polis marin (PPM).

Dalam masa sama, pihaknya kini sedang mengesan suspek juga teman lelaki mangsa.

- Sumber: Astro Awani