Friday, 8 January 2021

Black Widow, James Bond jadi harapan pawagam kembali bernyawa


Black Widow antara filem yang diharap dapat menarik penonton ke pawagam.


Pengendali dan syarikat pemilik pawagam berharap barisan filem blockbuster akan membantu mereka kembali 'hidup' pada tahun 2021, lapor Reuters.
Kira-kira dua pertiga pawagam di Amerika Syarikat dan Kanada ditutup, sedangkan selama ini di situlah merupakan antara pasaran filem terbesar di dunia.

Kutipan box office pada tahun 2020 pula menjunam sehingga 80% dari tahun sebelumnya.
Tetapi pemilik pawagam dan penganalisis industri optimis terutamanya kini setelah vaksin COVID-19 dilancarkan, selain mereka bersandarkan pada kekuatan kisah James Bond, Black Widow serta beberapa lagi filem blockbuster baharu yang akan mula ditayangkan pada musim bunga nanti.

"Saya rasa kita akan melihat perkembangan positif sepanjang 2021, tetapi mungkin kita memerlukan sedikit masa untuk melihat ia menjadi kenyataan," kata Shawn Robbins, ketua penganalisis BoxOfficePro.com.

Filem James Bond No Time to Die, dari MGM dan Comcast Corp's Universal Pictures, dijadualkan ditayangkan pada bulan April, manakala Black Widow dari Marvel Studios Walt Disney Co, dan Fast & Furious terbitan Universal dijadualkan ditayangkan pada bulan Mei.

Selain itu beberapa filem musim panas yang dinanti-nantikan termasuk Top Gun: Maverick dari Paramount Pictures ViacomCBS Inc, animasi Universal Minions: The Rise of Gru, dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings oleh Marvel.

Keyakinan mereka turut didorong oleh kejayaan filem Wonder Woman 1984 yang ditayangkan sepanjang musim cuti Krismas.

Walaupun angkanya jauh lebih rendah dari debut filem aksi biasa, penjualan tiket untuk filem tersebut lebih tinggi daripada jangkaan awal, walaupun penonton di AS mempunyai pilihan untuk menonton filem itu di rumah menerusi HBO Max.

Ini memberi gambaran jika filem tersebut menarik dan penonton dibenarkan kembali ke pawagam, mereka tidak akan teragak-agak untuk datang.

"Kehadiran penonton semakin meningkat setiap hari. Tetapi industri takkan pulih dalam tempoh yang cepat, sekurang-kurangnya tidak selagi suntikan vaksin belum meluas.

"Mungkin pada hujung 2021 kita akan pulih sepenuhnya," kata Naib Presiden Eksekutif B&B Theatres, Bobbie Bagby Ford.

Sumber: Astro Awani
Januari 3, 2021

No comments:

Post a Comment