Wednesday 1 October 2014

Kejam! Wanita ditemui mati, dikerat dan dibakar

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya dalam kejadian di Kampung Tok Keramat, Juru, Pulau Pinang.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai 'Intan' berusia lewat 20-an dari Teluk Air Tawar, Butterworth turut dipercayai dikerat dan dibakar.

Difahamkan wanita malang yang juga pengusaha kedai runcit itu datang ke rumah lelaki berkenaan pada Isnin lalu untuk bertemu suspek yang berusia 40-an.

Menurut sumber, kejadian disedari oleh anak saudara suspek yang melihat keadaannya yang mencurigakan sebelum memaklumkan kepada ibunya petang semalam.

Ahli keluarga suspek kemudiannya memeriksa kawasan berkenaan petang semalam dan menemui serpihan tulang terbakar dan pakaian dipenuhi darah.

Ekoran itu, laporan polis dibuat dan sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan malam tadi.

Difahamkan pasukan forensik polis yang menjalankan pemeriksaan ditempat kejadian kira- kira jam 2 pagi tadi turut menemui tulang dan gigi dipercayai milik mangsa.

Sementara itu Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian pagi tadi mengesahkan cebisan tulang yang ditemui di kawasan rumah saspek adalah tulang manusia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Nor pula ketika dihubungi memaklumkan pihaknya mendapat maklumat kejadian tersebut daripada orang awam dan sepasukan polis dihantar untuk melakukan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan pihak polis menemui beberapa serpihan tulang yang terbakar hasil pencarian yang dilakukan di kawasan berhampiran rumah wanita yang dilaporkan dibunuh dan dibakar teman lelakinya.

Usaha pencarian saki baki tulang berkenaan sedang diteruskan membabitkan unit forensik, anjing pengesan (k-9) dan pasukan penyelam pasukan polis marin (PPM).

Dalam masa sama, pihaknya kini sedang mengesan suspek juga teman lelaki mangsa.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment