Tuesday, 25 November 2014

Visual pertama 'black seadevil' dari laut dalam

Imej dan video pertama 'black seadevil' yang berjaya dirakamkan dari laut dalam.

Institut penyelidikan The Monterey Bay Aquarium yang berpengkalan di California berkongsi satu penemuan yang menakjubkan dari laut dalam.

Mereka berjaya merakamkan imej dan video pertama ikan betina jenis ‘anglerfish’ atau dikenali dengan nama ‘black seadevil’.

Menggunakan mesin canggih yang dikendalikan di dalam air, Doc Ricketts, spesis yang dijumpai adalah 9 sentimeter panjang dan para saintis percaya ini adalah video penemuan pertama yang berjaya dirakamkan pada kedalaman 1900 kaki.

Ikan yang dipanggil ‘Melanocetus’ secara saintifiknya itu mendapat gelaran ‘seadevil’ berdasarkan rahangnya yang besar menonjolkan taring-taringnya yang menggerunkan selain ‘trademark’ mengumpan mangsa dengan cahaya seakan tanglung yang bersambung pada kepala.

‘Seadevil’ pernah digambarkan dalam filem animasi Disney ‘Finding Nemo’ pada 2003.

Menurut jurucakap Institut The Monterey Bay, Kim Fulton-Bennett, “Kami membawa robot (Doc Ricketts) ke dalam air pada beberapa siri kedalaman dan membiarkannya selama 10 minit pada setiap kedalaman. Di situ kami mengira pelbagai jenis hidupan laut yang kami temui.”

Selama 20 tahun penyelidikan, pelbagai jenis ikan dan haiwan laut yang jarang sekali dapat dijumpai berjaya dirakamkan namun spesis ikan ‘seadevil’ terutama betina adalah penemuan paling menakjubkan.

- Sumber: Astro Awani 

Kepala lelaki dalam plastik hitam di Bukit Mertajam

MAZLAN: Berdasarkan rakaman itu, seorang dari dua lelaki itu turun dari motosikal dan meninggalkan bungkusan plastik berkenaan.

BUKIT MERTAJAM: Kepala seorang lelaki ditemui dalam satu bungkusan plastik hitam di hadapan sebuah kedai makan di Taman Impian Ria di sini, kira-kira pukul 4.30 petang ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata kepala itu ditemui oleh pemilik kedai makan di Lorong Impian Ria 5 sebelum memaklumkan kepada polis.

Katanya hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) diperolehi dari premis berkenaan pihaknya mendapati bungkusan itu ditinggalkan oleh dua lelaki yang menunggang motosikal kira-kira pukul 9.30 malam semalam (Ahad).

"Berdasarkan rakaman itu, seorang dari dua lelaki itu turun dari motosikal dan meninggalkan bungkusan plastik berkenaan berhampiran kedai sebelum beredar.

"Polis akan terus meneliti rakaman diperolehi selain mendapatkan lebih banyak rakaman CCTV dipasang di premis berhampiran.

"Setakat ini pihaknya belum dapat mengenalpasti identiti mangsa," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam ini.

Mazlan berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain dan telinga kiri dan kanannya dipotong sebelum kepala itu dibuang di situ.

Katanya berdasarkan kesan darah yang masih baru pihaknya percaya mayat lelaki itu dibunuh dalam tempoh 24 jam.

"Kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, polis minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata Unit Anjing Pengesan K-9 turut dipanggil bagi melakukan pemeriksaan bagi mengesan badan mangsa jika ia turut dibuang sekitar lokasi kejadian.

Kepala itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat, katanya.

Sementara itu, pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 40, berkata beliau sedang menyapu sampah bila ternampak bungkusan mencurigakan yang pada mulanya disangkakan mengandungi bom. 

Katanya dalam keadaan cemas beliau meminta rakannya membuka plastik berkenaan perlahan-lahan, dan mendapati kepala manusia yang masih berdarah.

- Sumber: Bernama