Wednesday, 12 November 2014

Pemuda hilang di Hutan Lipur Bukit Wang telah ditemui

Pihak Polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa kira-kira jam 5 petang Selasa melancarkan gerakan mencari bersama beberapa agensi berkaitan.

JITRA: Mohd Yahya Mohd Bakri, 24, mangsa yang hilang di Hutan Lipur Bukit Wang, dekat Jitra pada Selasa telah berjaya dijumpai semula kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Jitra, Kedah untuk rawatan.

Abd Rahim ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang kemudiannya membawa mangsa kepada pihak Operasi Pencari dan Penyelamat.

Pihak Polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa kira-kira jam 5 petang Selasa melancarkan gerakan mencari bersama beberapa agensi berkaitan.

Operasi mencari mangsa terpaksa dihentikan kira-kira jam 7 petang semalam ekoran keadaan gelap dan gerakan mencari mangsa agak sukar berikutan hutan tebal.

Ikuti temubual bersama Abd Rahim mengenai penemuan mangsa.

Mangsa Mohd Yahya dipercayai hilang ketika hendak mencuci tangan selepas makan bersama keluarganya di tebing sungai tempat berkelah di kawasan itu.
Menurut ibu mangsa, Sahidah Azizan, 52, anak kedua dari tujuh beradik itu meminta izin untuk mencuci tangan di tandas yang jaraknya kira-kira 500 meter dari tempat mereka berkelah.

Katanya, mereka sekeluarga tiba dari Tikam Batu, Sungai Petani jam 10.30 pagi dan sempat makan lima beranak itu di tebing air terjun sebelum mangsa dilaporkan hilang jam 11.30 pagi Selasa.

Bagaimanapun selepas puas mencari mereka sekeluarga bertekad untuk menghubungi pasukan bomba untuk meminta bantuan kerana bimbangkan keselamatan anaknya itu.

- Sumber: Astro Awani

Sinbad Dendam Ratu Kala penuh fantasi


BERTEMPAT di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bangsawan Sinbad Dendam Ratu Kala melabuhkan tirai selepas dipersembahkan selama tiga hari berturut-turut, bermula 7 hingga 9 November lalu.

Merupakan kesinambungan dari Teater Bangsawan Sinbad yang pernah dipentaskan pada 2009 (Sinbad Batu Permata Dewa), pementasan selama hampir dua jam ini berjaya menarik hampir 2,000 penonton.

Mendapat sentuhan Rosnan Nordin sebagai pengarah, teater ini dibintangi pegawai dan kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) seperti Mohd Fairuz Selamat (Sinbad), Nur Azreen Nizar (Puteri Jasmin), Saifulkhairi Ahmad (Abdul), Milyana Arshad (Ratu Kala) dan ramai lagi.

Teater Sinbad Dendam Ratu Kala mengisahkan Ratu Kala yang ingin membalas dendam di atas kematian anaknya dengan menculik Puteri Jasmin sebagai tebusan.

Demi menyelamatkan cinta hati, Sinbad memulakan pelayaran ke Kerajaan Ratu Kala di Alam Hitam dan mendapatkan pertolongan Tiga Setan Ratu Sheeba yang mengetahui tempat persembunyian ratu kejam tersebut.

Walaupun Sinbad berjaya menyelamatkan Puteri namun dia berhadapan dengan situasi sukar apabila takhta Puteri Yasmin akan bertukar tangan sekiranya mereka tidak pulang tepat pada masanya.

Menepati ciri teater bangsawan, teater ini berjaya membawa penonton ke dunia fantasi yang mana pengembaraan Sinbad memerangi kejahatan Ratu Kala amat dirasai.

Dari segi lakonan, nyata persembahan setiap pelakon tiada cacat celanya. Dengan lakonan bertenaga, setiap watak dilihat lebih menyerlah dengan solekan dan kostum yang membantu menghidupkan alam Sinbad.Lebih menonjol dengan LED

Tidak seperti pementasan biasa, Rosnan Nordin berjaya menghidupkan suasana teater Sinbad ini dengan penggunaan teknik lebih moden berbanding persembahan biasa.

Bukan sahaja menonjolkan elemen tarian, nyanyian dan lakonan, teater ini juga menggunakan skrin LED dan visual menjadikan ianya satu persembahan luar biasa.

Rosnan berkata, ternyata teknik itu memukau penonton dan menjadikan babak seperti naga dan bebola api lebih realistik.

"Saya bersyukur dengan penerimaan penonton yang rata-rata berpuas hati dengan persembahan ini.

"Ternyata teknik visual lebih moden juga boleh diguna pakai untuk menyerikan lagi pementasan ini," ujarnya

Dalam pada itu, Rosnan, turut memuji kerjasama dan persembahan kesemua pelakon. Sementelah kebanyakan mereka sememangnya mempunyai latar belakang seni kreatif dan teater dari universiti tempatan.

- Sumber: Sinar Harian