Friday, 14 April 2017

PRU14 diramal Oktober depan


SUDAH ada tanda-tanda menunjukkan PRU14 diramal diadakan dalam masa terdekat, kemungkinan pada Oktober depan.

Kehadiran semua pemimpin parti komponen BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin BN negeri bagi menyertai kem semangat di Institut Latihan Memperkasa Ummah, Janda Baik, Pahang, minggu lalu membuktikan BN kini berada dalam persiapan menghadapi PRU14 pada bila-bila masa.

Mengikut laporan Sin Chew Daily, kem semangat selama tiga hari bermula 7 April lalu itu, antara lain membuat analisa mengenai kedudukan BN dalam PRU akan datang mengikut negeri.

Difahamkan, hasil analisa dibuat, BN menaruh keyakinan untuk merampas semula tampuk pemerintahan di Selangor tetapi di Pulau Pinang, harapan boleh dikira terlalu tipis.

Mengikut amalan biasa, beberapa bulan sebelum PRU diadakan, BN biasanya akan mengadakan kem semangat seperti ini. Berdasarkan penganjuran kem semangat ini, banyak pihak sudah boleh membuat ramalan mengenai tarikh PRU.

Sumber dalaman memberitahu akhbar ini, dalam kem semangat itu, semua pemimpin BN di setiap peringkat negeri telah memberikan taklimat mengenai perkembangan politik di negeri masing-masing.

Selain itu, mereka turut membuat laporan analisis mengenai peratusan peluang menang di kawasan-kawasan parlimen dan Dun serta kekuatan atau kelemahan yang ada pada BN negeri masing-masing.

"Ketika memberikan taklimat, BN pada dasarnya yakin mampu merampas kuasa di Selangor atas faktor perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

Pemimpin Kelantan pula yakin mampu memenangi beberapa kerusi lagi, di samping mengekalkan kerusi yang ada, malah berkeyakinan membentuk kerajaan di Kelantan.

"Manakala pemimpin Kedah menyatakan tidak menghadapi sebarang masalah untuk terus mengekalkan kuasa di negeri itu, begitu juga dengan keyakinan yang sama dinyatakan oleh pemimpin Terengganu," kata sumber itu.

Sumber memberitahu akhbar itu lagi, perdana menteri tidak memberitahu tepat mengenai tarikh sebenar PRU14, bagaimanapun beliau ada membayangkan ia mungkin diadakan paling awal pada Oktober depan, jika tidak, terpaksa ditangguhkan sehingga tahun depan.

"Ramai meramalkan PRU14 akan jatuh pada September depan, tetapi 16 September adalah Hari Malaysia.

"Presiden China, Xi Jinping pula dijangka mengadakan lawatan ke Malaysia pada Ogos ataupun September depan, oleh itu PRU tidak mungkin diadakan dalam tempoh tersebut," kata sumber itu lagi.

- Sumber: Sinar Harian | 14 April 2017

No comments:

Post a Comment